Thursday, July 7, 2022
More

    Pembesaran KHTP Selaras Peningkatan Pelaburan ke Kedah

    KULIM; Kedah bersetuju bagi melaksanakan pembesaran Kulim Hi Tech Park (KHTP) Fasa 4A dan Fasa 5 dengan keluasan 281 hektar bagi menampung permintaan susulan daripada peningkatan aliran masuk pelaburan di Kedah.

    “Hasil projek pembesaran ini dijangka sejumlah 15,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan kepada penduduk negeri Kedah,” ujar Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor semasa Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan KISMEC Tahun 2022.

    Jelas Muhammad Sanusi, usaha ini adalah bertepatan dengan salah satu daripada agenda utama kerajaan negeri iaitu untuk mengurangkan atau membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat dan seterusnya menaikkan taraf kehidupan mereka.

    Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan negeri berpandukan Teras Kemakmuran Ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 (KEDAH2035) menyediakan beberapa kawasan yang berpotensi untuk membolehkankan pelabur asing memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan utama, khususnya pada tahun 2022 ini.

    Antara kawasan yang berpotensi bagi pelaburan baharu di negeri ini adalah Kedah Rubber City (KRC), Kulim Hi Tech Park (KHTP), Kedah Science and Technology Park (KSTP), Special Border Economic Zone (SBEZ), Kedah Aerotropolis, Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Gurun Industrial Park dan Kawasan Industri Padang Meiha di Padang Serai.

    Menteri Besar berkata kerajaan negeri dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur bagi kawasan-kawasan perindustrian.

    “Pada tahun lalu, peruntukan sebanyak RM6.61 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih infrastruktur kawasan industri di Kedah,” ujar beliau.

    Terdahulu berdasarkan laporan daripada MIDA, prestasi pelaburan yang diluluskan di Kedah bagi semua sektor merangkumi pembuatan, perkhidmatan dan primer bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM68.3 bilion iaitu melebihi sasaran pelaburan yang ditetapkan dalam pelan KEDAH 2035 iaitu sebanyak RM10 bilion setahun. –KedahOnline

    Sumber berita: UPDA

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.