Thursday, July 7, 2022
More

    Indonesia Panggil Duta Britain, Tiada Sensitiviti Kibar Bendera LGBTQ

    JAKARTA: Indonesia hari ini memanggil duta Britain ke negara itu berhubung tindakan mengibar bendera lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di kedutaan United Kingdom (UK), dengan Jakarta meminta utusan asing menghormati sensitiviti tempatan di negara itu, di mana hubungan sejenis adalah dilarang.

    Seks gay adalah sah di negara dengan majoriti umat Islam terbesar di dunia itu, kecuali di sebuah wilayah, namun wujud diskriminasi meluas terhadap komuniti LGBTQ dan beberapa individu gay di Indonesia pernah ditahan di bawah undang-undang antipornografi.

    Kedutaan itu minggu lalu menyiarkan gambar bendera pelangi yang dikibarkan di premis kedutaan melalui Instagram bagi menandakan Hari Antarabangsa Menentang Homophobia, Biphobia dan Transphobia.

    Ia disertai dengan mesej sokongan untuk hak LGBTQ.

    Bantahan disuarakan dalam kalangan warga Indonesia konservatif secara dalam talian sebagai maklum balas terhadap siaran media sosial itu dan hari ini, kementerian luar di Jakarta memanggil duta Britain, Owen Jenkins untuk memberi penjelasan.

    “Tindakan itu, bersama-sama dengan penerbitan (gambar) melalui akaun media sosial rasmi kedutaan Britain adalah sangat tidak sensitif.

    “Kementerian ingin mengingatkan utusan asing supaya menghormati sensitiviti nilai budaya dan agama,” kata jurucakap kementerian, Teuku Faizasyah kepada AFP, hari ini.

    Kedutaan berkenaan bagaimanapun tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan AFP untuk mendapatkan komen mengenai isu itu.

    Golongan konservatif yang berpengaruh mengkritik kedutaan berkenaan kerana mengibarkan bendera pelangi bersama Bendera Kesatuan UK.

    Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Cholil Nafis, berkata misi diplomatik bertindak tidak hormat kerana menyokong hak LGBTQ secara terbuka.

    “Kita mesti menegur mereka bahawa sebagai tetamu, seseorang itu mesti tahu tempat mereka dan memahami norma di negara tempat mereka berada,” kata beliau kepada 68,000 pengikut Twitternya, Sabtu lalu.

    Hubungan sejenis adalah haram di wilayah konservatif Indonesia, Aceh, yang mana mereka yang terbabit boleh dikenakan sebatan awam di bawah undang-undang Islam tempatan. – AFP

    KedahOnline

    Sumber berita: Berita Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.