Thursday, July 7, 2022
More

    Golongan Lelaki Merangkumi 90 Peratus Pengidap HIV/AIDS di Malaysia

    Kuala Berang: Sebanyak 90 peratus penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah terdiri daripada golongan lelaki, kata Ketua Sektor HIV/AIDS dan Hepatitis C Kementerian Kesihatan Dr Anita Suleiman.

    Beliau berkata sehingga Disember 2020, seramai 125,878 pesakit HIV/AIDS telah berdaftar di seluruh negara untuk mendapatkan penjagaan dan rawatan dengan pihaknya.

    Dr Anita berkata lelaki menjadi penyumbang terbesar daripada jumlah itu akibat penggunaan jarum untuk suntikan bagi penagihan dadah dan amalan seks tidak selamat terutama membabitkan golongan homoseksual.

    “Data terkumpul dari 1986 hingga 2020 menunjukkan bilangan kes HIV/AIDS membabitkan golongan perempuan dan kanak-kanak adalah rendah iaitu 14,213 orang berbanding lelaki.

    “Sebanyak 60 peratus penghidap HIV/AIDS pula terdiri daripada golongan muda berusia antara 29 hingga 39 tahun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Rumah Baitul Cakna di Kampung Pelandan hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong.

    Dr Anita berkata pihaknya juga menganggarkan jumlah sebenar penghidap HIV dan AIDS di Malaysia adalah jauh lebih besar daripada angka yang direkodkan kerana masih ramai pesakit malu untuk tampil mendapatkan rawatan berikutan persepsi negatif masyarakat.

    “Stigma masyarakat terhadap pesakit HIV dan AIDS masih tebal walaupun pada hakikatnya, penyakit ini sudah tidak berbahaya dan menyebabkan jangkitan dalam masyarakat.

    “Stigma ini perlu segera dikikis kerana dengan kaedah perawatan moden pada hari ini, penyakit ini bukan lagi ancaman utama malah jika diikutkan, penyakit kencing manis lebih memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti berbanding pesakit HIV/AIDS,” katanya

    Beliau juga berkata punca dan corak jangkitan HIV/AIDS didapati telah berubah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila amalan seks tidak selamat menjadi faktor utama penularan berbanding penggunaan jarum suntikan.

    “Boleh dikatakan 95 peratus kes yang dikesan setiap tahun berpunca daripada amalan seks tidak selamat terutama dalam kalangan golongan homoseksual manakala hanya tiga peratus membabitkan penggunaan jarum suntikan dan dua peratus lagi adalah jangkitan daripada ibu kepada anak,” katanya. –KedahOnline

    Sumber berita: Harian Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.