Sunday, May 29, 2022
More

    Ganja RM194,275 dalam MPV dan pacuan empat roda dirampas

    ALOR SETAR – Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga emas dan merampas dadah seberat 77.71 kilogram (kg) bernilai RM194,275 dalam beberapa serbuan di Jalan Kodiang, Kedah dan Bangsar serta Sri Hartamas, Kuala Lumpur Rabu lepas.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam operasi jam 6 pagi itu, dua lelaki ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Kodiang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

    Katanya, pemeriksaan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima menemui sejumlah ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja di bahagian kerusi penumpang tengah dan bonet kereta.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Estima kira-kira jam 6.40 pagi di pekarangan Balai Polis Kodiang menemui sejumlah 26 ketulan mampatan dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 25.496kg.

    “Sejumlah 50 lagi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 50.205 kg lagi ditemui di bahagian kerusi penumpang tengah kenderaan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini.

    Hadir sama,Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.Wan Hassan memberitahu, susulan itu polis memeriksa sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton kira-kira jam 6.20 pagi berdekatan stesen minyak di Jalan Kodiang.

    “Pemeriksaan menemui sebuah beg biru berisi dua ketulan mampatan dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 1.982kg,” katanya.

    Beliau menjelaskan penahanan dua lelaki membawa kepada penangkapan dua lagi lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kes itu di Bangsar dan Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada hari sama.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad (tengah) meneliti dadah jenis ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini.

    “Siasatan mendapati dua suspek berniaga di kedai makan, seorang pemandu lori dan seorang lagi penghantar surat dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak enam bulan lepas,” katanya.

    “Hasil ujian saringan air kencing ke atas empat suspek mendapati semuanya negatif dadah dan semakan tiga daripada empat suspek mendapati ada rekod jenayah lampau,” katanya.

    Katanya, polis turut merampas dua kereta, dua motosikal, dua jam tangan selain menyita wang berjumlah RM3,333.77 serta beberapa barangan lain.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan barangan sitaan dianggarkan sebanyak RM300,000,” katanya.

    Mengulas lanjut, menurut beliau, pihaknya percaya bekalan dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran sebelum transit di Kedah untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

    Wan Hassan memberitahu, keempat-empat suspek berusia antara 27 hingga 60 tahun direman sehingga 18 Januari ini dan permohonan reman akan disambung untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.