Sunday, May 29, 2022
More

    Duri hitam sumber pendapatan baharu penduduk Sik

    ALOR SETAR – Penanaman durian jenis ‘duri hitam’ di sekeliling rumah melalui Program ‘Hijau Durian Asnaf Daerah Sik’ bakal menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk di kawasan luar bandar.

    Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kira-kira 1,500 benih pokok durian jenis ‘duri hitam’ diagihkan kepada penduduk yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan ibu tunggal pada 1 Januari lepas.

    Beliau memberitahu, idea berkenaan tercetus bagi memberi galakan kepada penduduk Sik untuk mempergiatkan usaha dalam bidang pertanian khususnya dalam penanaman durian bermula secara kecil-kecilan di kawasan tanah yang terhad di sekeliling rumah mereka.

    “Sekiranya, penanaman ini berhasil ia akan dapat menambah pendapatan mereka di ketika permintaan buah durian dalam pasaran sangat menggalakkan pada ketika ini dan dijangka lebih tinggi permintaan pada beberapa tahun akan datang.

    “Usaha ini juga sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi kehijauan daerah Sik yang sangat baik untuk kelestarian alam sekitar sekeliling,” katanya kepada Sinar Harian.

    Tambah beliau, program berkenaan diharap dapat memperkenalkan daerah Sik dengan tanaman hijau durian ini, selain menambahkan hasil pendapatan peserta apabila tanaman mengeluarkan hasil buah nanti.

    Beliau menjelaskan Jabatan Pertanian akan membantu penduduk terlibat dari segi cara menanam, menabur baja, pengawalan penyakit dan menjaga pokok durian tersebut. ‐ KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.