Sunday, May 29, 2022
More

    Polis Kedah tidak kompromi penguat kuasa terlibat seludup PATI

    ALOR SETAR – Polis Kedah tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja termasuk penguat kuasa di sempadan yang dikesan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba menjadi tali barut sama seperti mana tindakan yang dikenakan terhadap penyeludup yang membawa masuk PATI.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan ahli-ahli sindiket dan mungkin ada juga tali barut (dari kalangan) penguat kuasa. Mereka menjadi tali barut kepada ahli sindiket ini dan kita akan ambil tindakan sama seperti tindakan terhadap orang lain yang menyeludup,” ujar beliau.

    Jelas Kamarul Zaman, kegiatan penyeludupan PATI di sempadan Malaysia-Thailand meningkat dipercayai disebabkan ekonomi di negara ini kembali rancak menyebabkan banyak peluang pekerjaan tersedia.

    Jelas beliau, sepanjang Disember lalu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) menahan 20 individu termasuk tiga tekong darat rakyat tempatan yang membawa 17 PATI di Plaza Tol Hutan Kampung.

    Kemudiannya, pasukan Cawangan Khas IPK berjaya menahan 13 PATI bersama tiga tekong darat warga tempatan di Napoh, Changlun.

    Susulan itu, tujuh individu termasuk seorang wanita dan tekong darat Myanmar ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    Menurutnya, kawalan ketat dijalankan di sempadan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun ada antara PATI yang memasuki melalui laluan berbukit dan memotong kawad berduri.

    Justeru, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan pasukan Op Benteng dengan melakukan operasi khas untuk memastikan kumpulan PATI dan tekong darat tidak terlepas. – KedahOnline

    Sumber Asal: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/polis-kedah-tidak-kompromi-penguat-kuasa-terlibat-penyeludupan-pati-340011

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.