Sunday, May 29, 2022
More

    473 penunggang motosikal masuk Langkawi disaman

    LANGKAWI – Seramai 473 penunggang motosikal yang memasuki Pulau Langkawi disaman polis melibatkan 606 kesalahan dalam satu operasi pemeriksaan trafik di Jeti Tanjung Lembong, dekat sini.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas motosikal yang memasuki pulau pelancongan berkenaan dan majoriti kesalahan yang dilakukan adalah tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.

    Menurutnya, kira-kira 1,200 motosikal diperiksa oleh pihaknya yang melibatkan satu perjalanan pada sebelah tengah hari dan dua perjalanan pada sebelah yang kesemuanya datang dari Jeti Kuala Perlis.

    “Rata-rata penunggang motosikal ini datang dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor Bahru. Seramai 473 penunggang motosikal telah disaman yang melibatkan 606 kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tiada nombor pendaftaran antara kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal yang memasuki Langkawi dari Jeti Kuala Perlis pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Shariman berkata, operasi bersepadu tersebut digerakkan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Menurutnya, JPJ juga turut mengeluarkan 101 notis termasuk menyita sebuah motosikal.

    “Kesemua mereka telah diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang berada di Langkawi,” ujarnya. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.