Sunday, May 29, 2022
More

    Situasi Hulu Langat mirip pasca tsunami di Kuala Muda – MB Kedah

    HULU LANGAT – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, situasi kawasan penempatan penduduk bagi pasca banjir di kawasan Hulu Langat, Selangor mirip keadaan selepas kejadian tsunami yang berlaku di Kuala Muda, pada tahun 2004.

    Menurutnya, proses pembersihan amat memerlukan sistem sokongan dan bantuan sewajarnya bagi memastikan ia dapat diuruskan dengan lebih baik.

    “Di samping menyalurkan bantuan RM200,000 saya buat keputusan untuk turun ke Selangor termasuk mengarahkan agensi-agensi kerajaan negeri membawa aset jentera berat dan petugas.

    “Kami ada pengalaman (banjir) banyak kali…ketika tsunami di Kuala Muda dulu, lebih kurang beginilah keadaan lumpur. Kemudian, dilanda banjir biasa pada 2010 dan kejadian kepala air di Yan baru-baru ini,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Khidmat Masyarakat bersama Menteri Besar Kedah di Kampung Sungai Lui di sini.

    Muhammad Sanusi berkata, bersandarkan pengalaman pengurusan pasca banjir, pihaknya mengambil keputusan untuk menggerakkan aset-aset keperluan dari Kedah bagi membantu proses pembersihan kawasan penduduk yang terjejas.

    “Ada pengalaman, berapa aset diperlukan, berapa jumlah sukarelawan. Bersama kita ada lebih 500 orang sukarelawan daripada Pas dan agensi-agensi pihak berkuasa tempatan (PBT). Jentera-jentera yang juga merupakan aset baharu turut dibawa ke sini.

    “Kita mahu ringankan beban penduduk. Nak harap mereka sendiri mungkin tak mampu. Dulu masa di Yan orang Selangor tolong kita, jadi kita balas balik jasa mereka,” katanya.

    Minggu lalu kerajaan Kedah mengumumkan untuk menghulurkan sumbangan khas kepada kerajaan Selangor sebanyak RM200,000 dengan seberapa segera bagi membantu rakyat negeri tersebut yang ditimpa musibah banjir. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.