Tuesday, August 9, 2022
More

    Tempat-tempat menarik untuk percutian di Alor Setar

    “Kami orang Alor Setar pun hari ini baru tahu”.

    Alhamdulillah, pagi ini sempat membawa rakan-rakan daripada Sekolah Zakat Kedah untuk mengenali kawasan di sekitar Alor Setar. 

    Sebelum ini hanya bercerita mengenai beberapa tempat menarik di Alor Setar untuk mereka lawati. Akhirnya mereka meminta supaya dibawa untuk melewati beberapa kawasan di Alor Setar walaupun tidak mampu semuanya.

    Terasa puas kerana dapat berkongsi kisah sejarah dan rahsia-rahsia yang tersembunyi di sebalik Bandaraya Alor Setar. Tidak semua orang Kedah tahu. Jika tahu tak mustahil Alor Setar mampu menjadi pusat pelancongan berpotensi seperti Melaka kerana kawasan pelancongan dianggap sebagai ‘walking distance area’.

    Seawal jam 9:00 pagi, kami singgah di Rumah Merdeka, Alor Setar. Rumah Merdeka yang terletak di Jalan Putera di belakang Hotel Royal merupakan kediaman rasmi Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj di Alor Setar. 

    Rumah Merdeka ini menyaksikan bagaimana Tuanku Abdul Rahman merancang strategi kemerdekaan dan juga berunding dengan wakil Kerajaan Indonesia bagi menamatkan konfrontasi. Di rumah ini, terdapat berek rumah pekerja Tuanku dan juga bot yang digunakan oleh Tuanku.

    Selepas selesai, kami melewati kawasan Dataran ‘Paris’ atau Medan Bandar berdepan Masjid Zahir. Secara ringkas menerangkan kepada mereka mengenai Gerbang Kanchapuri, tapak kubur di depan Masjid Zahir dan pengkisahan Masjid Zahir secara ringkas.

    Kami kemudian bergerak ke gerbang peringatan tempat permulaan Alor Setar yang terletak berdekatan simpang Balai Seni. Di situ dahulunya terdapat satu alor dan juga pokok setar. Di sinilah bermulanya nama Alor Setar.

    Dari situ kami bergerak menuju ke Pasar Buah dan kemudiannya singgah di Masjid Nagore. Sambil berkongsi dengan mereka mengenai Restoran Manzur Capati yang terkenal dengan capati dan juga nasi beriyani ayam kampung dan juga gulai itik. Masjid Nagore dibina pada tahun 1881 oleh pedagang India Muslim yang datang berdagang ke Alor Setar.

    Daripada Masjid Nagore, kami menuju ke Medan Seni Alor Setar yang menempatkan gambar-gambar seni di tepi jalan ala-ala seperti ‘Penang Art Street’. Di hujungnya adalah kawasan Pekan Melayu yang berkembar dengan Pekan Cina.

    Daripada Medan Seni, kami bergerak menuju ke rumah kelahiran Tun Dr Mahathir di Jalan Kilang Ais. Kemudiannya terus bergerak menuju ke Jambatan Keretapi lama. Dalam perjalanan kami melalui Madrasah Hamidiah yang diasaskan oleh Syeikh Wan Sulaiman Sidek pada tahun 1908 yang merupakan bangunan asal kepada Maktab Mahmud. Sehinggalah dipindahkan ke bangunan sekarang yang diwakafkan oleh seorang wanita bernama Che Gayah di Jalan Pegawai.

    Selepas selesai melewati kawasan Jambatan Keretapi lama yang saya gelarkan sebagai ‘Maxwell Bridge’, kami sempat berfoto tanda kenangan. Saya gelarkan Maxwell Bridge kerana ianya dibina pada zaman George Maxwell menjadi Residen British di Kedah. Di Kelantan dinama Guillemard Bridge dan Perak dinamakan Victoria Bridge. Nama ini bukan nama rasmi, sekadar mudah untuk pengecaman.

    Keunikan ‘Maxwell Brigde’ berbanding Victoria Bridge dan Guillemard Bridge adalah ianya berada di tengah-tengah bandar.

    Sebelum akhir hayat Dato’ (Dr) Wan Shamsuddin Yusoff meninggal, beliau pernah berpesan kepada saya untuk terus bercerita kepada generasi baharu mengenai jambatan ini. Walaupun ianya ditinggalkan, tetapi tetap diingati oleh generasi zaman berzaman dari sudut pengkisahan sejarah.

    Ianya berkait rapat dengan pengumpulan tentera kerahan atau buruh paksa jambatan maut di Burma yang berpangkalan di Alor Setar bagi Tanah Melayu.

    Daripada ‘Maxwell Bridge’ Alor Setar, kami bergerak ke Tugu Jepun berdekatan dengan Pejabat Pelancongan Negeri Kedah. Di situ merupakan tapak yang diselenggara oleh Kedutaan Jepun dengan bantuan PSCMK bagi memperingati tentera Jepun yang terbunuh ketika memasuki Tanah Melayu. Ianya menjadi daya tarikan pelancong Jepun untuk datang ke Negeri Kedah. Bersebelahan kubu Jepun terdapat perkuburan orang Islam lama.

    Di tapak ini juga, Tuan Guru Haji Salleh seorang ulamak dari Penaga pernah membina sebuah pondok sekitar tahun 1850-an. Tuan Guru Haji Salleh juga merupakan guru agama kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang memerintah daripada tahun 1854-1879. 

    Disebabkan kesuntukan masa, kami tidak sempat untuk menghabiskan beberapa tempat lain seperti permulaan terusan Wan Muhammad Saman dan kawasan kedua perisyhtiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Abdul Rahman di kawasan Kompleks Hijau Kuning kerana bot ke Pulau Songsong sedang menanti pada jam 12 tengah hari. 

    Selain daripada latihan air oleh APM, saya juga berkongsi mengenai kelebihan Negeri Kedah jika dilihat daripada Pulau Songsong. Kedah seumpama sebuah Pulau. Begitu cantik. Dari jauh nampak Gunung Keriang, Pulau Pinang dan Gunung Jerai seolah-olah sebuah pulau. Tidak pelik kenapa dan mengapa menjadi tarikan kepada penjajah suatu ketika dulu.

    Satu persoalan saya kepada mereka:

    “Apa peranan kita untuk menarik orang datang ke Kedah dengan produk pelancongan begitu banyak?”.

    “Kalau orang tahu rasanya ramai akan datang. Tapi masalahnya kami sendiri orang Alor Setar dan Kedah sendiri pun hari ini baru tahu apa yang ustaz kongsikan”.

    Mudah-mudahan perjalanan ringkas dan padat hari ini mampu memberi inspirasi kepada tim di Sekolah Zakat Kedah untuk turut sama menggerakkan agenda pelancongan negeri melalui ruang lingkup yang ada. 

    Sesuatu mercu tanda, monumen atau artifak itu ‘mati’, tetapi ianya akan hidup dengan penceritaan sejarah di sebalik simbolik yang ada.

    DR FAISAL MUSTAFFA

    Jitra, Kedah – KedahOnline

    Sumber Asal: https://www.facebook.com/677903148/posts/10159644468698149/?d=n

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.