Wednesday, January 19, 2022
More

    Dua sahabat jelajah kayuhan 2,350km

    ALOR SETAR – Dua sahabat warga emas mengadakan jelajah berbasikal ke seluruh Semenanjung sambil mengeratkan semula silaturahim dengan rakan-rakan lama di setiap lokasi perhentian mereka.

    Usahawan, Dahalan Yahaya, 68, bersama Samsudin Saad, 65, yang juga bekas komando memulakan jelajah mereka pada Khamis lalu di pekarangan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah.

    Menurut Dahalan, jelajah berkenaan dijangka tamat pada 22 Disember depan di Kuala Kedah selepas destinasi terakhir di Pulau Langkawi.

    “Keseluruhan jelajah ini adalah sejauh 2,350 kilometer dan setiap hari kami akan berkayuh sejauh 100 kilometer sebelum berhenti rehat di destinasi yang dipilih,” katanya.

    Menurutnya, program itu merupakan jelajah pertama mereka bersama-sama setelah sekian lama berkayuh untuk tujuan riadah.

    “Alhamdulillah kami serasi bersama walaupun ini jelajah pertama kami dan semuanya berjalan lancar setakat ini, basikal pun tiada masalah,” katanya yang sudah tiba di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

    Dahalan berkata, mereka selalunya akan berehat selama sehari sebelum meneruskan kayuhan semula.

    “Sekarang sudah tiba di Kota Bharu jadi kami akan berehat selama sehari dan akan meneruskan perjalanan ke Jertih, Terengganu pada 1 Disember.

    “Belanja yang dikeluarkan pun tidak terlalu tinggi kerana kami menumpang tidur di masjid atau menggunakan khemah yang dibawa.

    “Jika terdesak sangat dan tiada pilihan baru kami akan mencari hotel murah,” katanya.

    Dahalan berkata, selain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan yang lama terpisah, jelajah itu juga bertujuan menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.

    “Samsudin sangat bersemangat dari hari pertama kami memulakan kayuhan, mungkin pengalamannya sebagai seorang komando menyebabkan dia tidak gentar dengan sebarang situasi.

    “Saya juga menumpang semangat dan kekuatan daripadanya, Insya-ALLAH semoga kayuhan kami akan tamat dengan jayanya pada 22 Disember depan,” katanya. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.