Wednesday, January 19, 2022
More

    102 lokasi sampah haram, 43 masih aktif di Kedah

    ALOR SETAR – Sebanyak 102 lokasi sampah haram dikenal pasti di Kedah dalam tempoh tiga tahun dengan 43 daripadanya masih lagi aktif.

    Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, daripada jumlah itu, 59 tapak sampah haram telah ditutup manakala lapan kes dihadapkan untuk pendakwaan di mahkamah.

    Menurutnya, daripada jumlah itu, enam kes disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

    “SWCorp Negeri Kedah memantau semua 102 lokasi sampah haram terbabit dengan pecahan tertinggi adalah di kawasan perbandaran Sungai Petani sebanyak 23 lokasi.

    “Bagi kawasan yang masih aktif, kawalan diteruskan dengan dibantu anggota penguatkuasa,” katanya.

    Beliau hadir ke majlis apresiasi sambutan World Clean Up Day (WCD) dan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan peringkat negeri Kedah, di Wisma Darul Aman kelmarin.

    Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Kedah, Nordin Amat.

    Dr Mohd Hayati berkata, kebanyakan lokasi membabitkan kawasan industri di Sungai Petani dan Kulim, melibatkan tanah kerajaan di tepi jalan.

    “Kebanyakan tapak sampah haram yang dikenal pasti di negeri ini membabitkan sisa binaan, domestik dan sebahagian kecil sisa buangan elektrik dan elektronik atau ‘e-waste’,” katanya.

    Mengulas lanjut, Nordin memaklumkan terdapat 10 lagi kertas siasatan sedang disiapkan dalam tempoh 2020- 2021 untuk pendakwaan di mahkamah.

    “Buat masa ini masih dalam proses susulan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita perlu dapatkan izin pendakwaan daripada Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terlebih dahulu sebelum meneruskan tindakan,” katanya.

    Menurutnya, sebelum dibawa ke mahkamah, pihaknya terlebih dahulu membuat kawalan dengan menaikkan arahan larangan membuang sampah haram dan tindakan yang akan diambil, selain pemantauan oleh pembantu penguatkuasa melalui cawangan SWCorp di seluruh negeri ini.

    “Sekiranya masih berlaku pencerobohan di lokasi yang telah diambil tindakan, kita akan sediakan kertas siasatan dan bawa ke muka pengadilan,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohd Hayati memberitahu, sepanjang tempoh penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal di punca, SWCorp Negeri Kedah telah menjalankan pemeriksaan di 115,405 unit rumah dan mengeluarkan 26 kompaun kepada premis yang tidak mengasingkan sisa mengikut kategori.

    “Tindakan yang diambil ini adalah untuk mendidik orang awam menghargai sisa pepejal yang boleh dikitar semula.

    Ia antara usaha meningkatkan kadar kitar semula selain mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada yang semakin kehabisan ruang,” katanya.

    Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang menjadi antara komponen penting dalam pembangunan negeri ini.

    “Aktiviti amalan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula) dan pengasingan sisa di punca dikenal pasti sebagai antara langkah berkesan untuk mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

    “Saya harap semua pihak bersama jayakan kempen “Keep Malaysia Clean dan “We Clean The World” dengan membuang sampah ke dalam tong sampah dengan betul seiring dengan amalan 3R dan slogan kebersihan negeri Kedah, iaitu #Keliakedahbersih,” katanya.

    Menurutnya, pelbagai program kesedaran dilaksanakan di negeri ini secara dalam talian dengan jumlah kutipan keseluruhan bagi Januari hingga Oktober lalu ialah sebanyak 1,298 tan dengan nilai sebanyak RM380,650.29. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.