Wednesday, January 19, 2022
More

    Tiga tokoh Kudin dalam sejarah Kedah

    Di dalam lipatan sejarah Kedah, terdapat 3 tokoh yang menggunakan nama Kudin. Fakta ini telah menimbulkan sedikit kekeliruan berkaitan sejarah. Antaranya orang menganggap Kudin menantu Sultan Selangor adalah orang yang sama berperang dengan Siam. 

    Ada juga yang mengatakan Kudin juga telah menamatkan kuasa Sultan di Setul sehingga menyebabkan Kedah kehilangan wilayahnya sendiri. Kekeliruan ini berlaku bukan sahaja di media sosial bahkan terdapat banyak kesilapan fakta di laman sesawang lain. Di sini kami mengulas serba ringkas perbezaan 3 tokoh bernama Kudin di dalam sejarah Kedah.

    Tunku Kudin – Perang Saudara Selangor

    Tunku Zia ud-din ibni al-Marhum Sultan Zain al-Rashid al-Mu’azzam Shah [Tunku Kudin]. Beliau adalah cucu kepada Sultan Ahmad Tajudin II. Dilahirkan pada tahun 1821 di Pulau Pinang, Beliau adalah Raja Muda Kedah dan telah berkahwin dengan Tunku Arfah, puteri Sultan Abdul Samad Selangor. Pada tahun 1868, beliau telah dilantik menjadi wizurai Negeri Selangor. 

    Beliau mendapat surat kuasa oleh Sultan Abdul Samad iaitu tawaran jajahan takluk baginda. Kuasa yang diberikan kepadanya adalah untuk membangunkan Negeri Selangor kerana beliau mempunyai pengaruh British yang kuat dan pandai menguruskan harta kerajaan.

    Tunku Kudin telah dipecat daripada jawatan Raja Muda Kedah oleh kekanda beliau Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1873. Berkemungkinan kerana beliau telah terlibat di dalam Perang Klang di antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi. Tunku Kudin menghabiskan usia beliau di Pulau Pinang sehingga meninggal dunia pada tahun 1909

    Tunku Syed Kudin – Perang Kedah Siam

    Syed Zainal Abidin bin Syed Muhammad Zahir dilahirkan pada tahun 1790. Beliau adalah anak saudara Sultan Ahmad Tajudin. Beliau berdarah campuran darah Arab dari susur galur As-Syihab. Keturunan beliau berasal dari Palembang sebelum menetap di Kedah.

    Pada tahun 1821, Panglima Siam iaitu anak Raja Ligor Phya Buri Sakmuton telah melancarkan serangan ke atas Kota Kuala Kedah. Lebih 1,000 orang rakyat Kedah telah dihantar ke Siam untuk dijadikan hamba. Pada tahun 1826, Kedah kembali menyerang Siam diketuai Tunku Kudin bersama Tunku Long Putih dan Tunku Sulaiman namun gagal.

    Pada tahun 1829, mereka melakukan percubaan kedua namun masih gagal mengalahkan Siam. Pada tahun 1831, barulah Tunku Kudin berjaya menawan kembali Kota Kuala Kedah dengan ketumbukan 2,000 perajurit. Akibat kekalahan teruk, pihak Siam telah meminta bantuan British untuk merampas semula Kedah. Hasil bantuan British, pihak Siam berjaya membunuh Tunku Kudin. Kepalanya telah dipenggal dan dibawa ke Ligor untuk dipersembahkan kepada Cau Phaya Nakon Sri Tammarat.

    Ku Baharuddin bin Ku Meh

    Ku Din Ku Meh adalah orang yang bertanggungjawan menyalin semula teks Undang-undang Kedah pada tahun 1894. Beliau juga adalah Ketua Penjara Kedah di zaman Sultan Abdul Hamid Shah. Pada tahun 1897, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Kedah di Setul. Ini kerana kemangkatan Raja Setul Tunku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tunku Ismail tidak mempunyai pengganti.

    Setelah lebih 4 tahun menjadi wakil sultan, Ku Din mula bertindak menjalankan pentadbirannya sendiri. Segala laporan terus kepada pihak Siam tanpa melalui Kerajaan Kedah. Pada tahun 1901, kuasa sultan di Setol telah dikurangkan. Ini bererti kerajaan Kedah tidak lagi menjadi ‘Chao Phya’ kerana tidak bersangkutkan dengan Kerajaan Setol. Ku Din telah menjadi pemerintah yang diiktiraf Siam dan bersara pada tahun 1916. – KedahOnline

    Rujukan

    www.academia.edu/36340057/Tunku_kudin_syed_zainal_abidin

    Kota Kuala Kedah Gelanggang Harimau Menerkam

    Sejarah Kedah Sepintas Lalu

    Kedah Dalam Lipatan Sejarah

    http://syednaharalshahab.blogspot.com/2012/10/makam-habib-hussein-bin-syed-zainal.html

    Sumber Asal: https://www.facebook.com/1193799194125663/posts/1942049182633990/

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.