Tuesday, August 9, 2022
More

    Tourism Malaysia tingkat promosi tarik pengembara Indonesia

    JAKARTA – Tourism Malaysia mengalu-alukan pelancong Indonesia yang lengkap vaksin Covid-19 untuk datang ke Langkawi, selepas hampir dua tahun penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.

    Menjelang percutian Krismas dan Tahun Baharu, pelancong boleh meluangkan masa bersama keluarga dan rakan di pulau itu tanpa perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

    Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Haryanty Abu Bakar yang mengetuai kempen promosi di Indonesia berkata, agensi itu telah menerima maklum balas sangat positif daripada ejen pelancongan sejak pengumuman Gelembung Perjalanan Langkawi.

    “Mereka teruja dan mahu tahu lebih lanjut tentang program itu,” katanya.

    Beliau berkata, jerayawara secara maya akan dipergiat menerusi 200 ejen pelancongan di seluruh Indonesia.

    Tourism Malaysia setakat ini telah mengadakan jerayawara di Yogyakarta, Jakarta dan kawasan sekitarnya.

    Mengulas lanjut, pengembara Indonesia mesti mengemukakan pengesahan tempahan daripada ejen pelancongan berdaftar, tiket penerbangan pergi balik yang dicetak serta perlindungan insurans perjalanan dan perubatan bernilai AS$80,000.

    Selaras dengan peraturan kerajaan, Haryanty menegaskan mereka mesti menunjukkan keputusan ujian RT-PCR Covid-19 negatif atau melakukan ujian saringan sejurus tiba di lapangan terbangMereka bebas menyertai semua aktiviti di pulau itu termasuk membeli-belah dan bersiar-siar jika keputusan negatif.

    Pelancong Indonesia dibenarkan melakukan perjalanan ke mana-mana negeri yang dibenarkan di Malaysia selepas tujuh hari kecuali di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

    “Mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan pakej pelancongan di bawah pengendali pelancongan berdaftar dan berlesen dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan atau meneruskan percutian sebagai Free Independent Traveller,” kata Haryanty.

    Sebelum pandemik melanda, beliau berkata, seramai 3.6 juta pelancong Indonesia mengunjungi Malaysia pada 2019. – KedahOnline

    Sumber: Bernama

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.