Friday, March 29, 2024
More

    Aidil terus setia bersama Kedah

    DI sebalik kekecohan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan kehilangan beberapa tonggak utama, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak mengesahkan untuk terus setia menerajui pasukan pada musim depan.Siapa bakal mengemudi Kedah sudah terjawab dan pastinya ia memberi sedikit kelegaan buat penyokong Kedah, biarpun senarai pemain belum ‘diikat’ dan masih menjadi tanda tanya.

    Aidil memutuskan untuk kekal bersama KDA FC yang telah serasi dengan dirinya selepas mengambil alih tugas itu pada musim 2019.

    “Ya, saya akan terus kekal bersama pasukan KDA FC pada musim depan. Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan semua pihak kepada saya selama ini,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

    Status Aidil mula menjadi tumpuan selepas pengurusan KDA FC memaklumkan untuk menawarkan tempat buatnya bagi menerajui pasukan pada musim depan.

    Jurulatih kelahiran Singapura itu bagaimanapun hanya mendiamkan diri seketika susulan pulang bercuti ke negeri kelahirannya baru-baru ini, sekali gus menimbulkan keresahan sama ada akan kembali ke Kedah untuk meneruskan persiapan pasukan.

    “Saya mahu terus kekal di Kedah, disebabkan pemain, pengurusan dan juga seluruh penyokong Kedah,” katanya lagi.

    Aidil mengikat kontrak bersama skuad Hijau Kuning selama dua tahun pada 2019, selepas kekosongan jawatan ketua jurulatih yang ditinggalkan oleh Nidzam Adzha (April 2018 sehingga Ogos 2018) dan kemudian dipangku Azzmi Aziz sehingga Oktober tahun tersebut.

    Kebangkitan Kedah jelas terbukti selepas Aidil tidak mengambil masa lama untuk menggilap kembali potensi pemainnya sehingga membuahkan kejayaan buat Kedah.

    Beliau berjaya membawa Kedah ke kemuncak saingan Piala FA musim 2019, seterusnya ke pentas final Piala Malaysia 2019 selain menduduki tempat kedua Liga Super musim ini. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.