Tuesday, August 9, 2022
More

    Tiga langkah pembetulan atasi kemerosotan simpanan KWSP

    ALOR SETAR – Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (KSIEWUSM)) mahu kerajaan melaksanakan tiga langkah pembetulan bagi menangani isu kemerosotan simpanan dałam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran pengeluaran besar-besaran menerusi pakej rangsangan disediakan.

    Setiausaha Agungnya, A Divid berkata, pihaknya memandang serius kegusaran yang dikongsi Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir pada Selasa lalu, mengenai risiko majoriti ahli KWSP yang berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan.

    Menurutnya, kerajaan, Kementerian Kewangan dan KWSP perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan setiap pekerja Malaysia tidak menjadi miskin selepas bersara dan jika dibiarkan berlaku, ia bertentangan dengan prinsip Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

    “Kami mahu kerajaan mencari penyelesaian konkrit dalam menyelesaikan isu ini dengan melaksanakan tiga perkara iaitu membatalkan segera keputusan melanjutkan pelaksanaan pengurangan kadar caruman ekoran Covid-19 yang dikatakan dilaksanakan untuk mengurangkan beban majikan dan pekerja.

    “Kedua, menaikkan kadar caruman di kedua-dua pihak pekerja dan majikan mulai 1 Januari 2022 bagi meningkatkan kadar simpanan jangka panjang.

    “Ketiga, kerajaan perlu memperuntukkan sumbangan pengganti bagi mengisi semula simpanan ahli KWSP yang telah mengeluarkan lebih RM101 bilion atas nama bantuan kewangan di bawah pakej rangsangan sejak tahun ini,” katanya.

    Mengulas lanjut, Divid berkata, kesatuan tersebut turut terkilan dan sedih melihat aset pelaburan KWSP telah merosot kepada RM989.14 bilion pada Jun 2021 selepas kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi.

    Beliau berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab sosial bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap para pekerja yang turut mencarum di KWSP.

    “Kerajaan tidak boleh mengambil atau melaksanakan dasar-dasar yang memiskinkan para pekerja atas nama tawaran bantuan kewangan sementara.

    “Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri, seiring dengan slogan Keluarga Malaysia perlu segera mengadakan perbincangan atau dialog bersama kesatuan sekerja bagi mencari penyelesaian pembetulan bagi mengelakkan satu lagi krisis kehidupan rakyat jelata dalam jangka panjang,” katanya. – KedahOnline

    Sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.