Friday, March 29, 2024
More

    Bersanding di Rumah Makan Percuma

    ALOR SETAR – Setiap pengantin baharu ingin mengabadikan perkahwinan masing-masing dengan cara tersendiri.

    Begitu juga dengan jurutera, Muhammad Luqman Yusof, 25, dan isterinya, Nurfarhanim Azli, 24, yang memilih untuk meraikan hari bahagia itu bersama orang ramai dan anggota keluarga serta rakan-rakan di Rumah Makan Percuma di Simpang Empat Kangkong di sini kelmarin dulu.

    RMP yang dibuka oleh syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) terkenal sebagai premis menyediakan makan tengah hari percuma kepada orang ramai.

    Menurut Muhammad Luqman, idea tersebut adalah daripada bapa mentuanya, Azli Saat, 51, yang juga pengurus besar syarikat penternakan untuk mengerat silaturahim bersama penduduk setempat.

    “Syukur Alhamdulillah, suasana kenduri ini berbeza daripada buat di hotel. Gembira apabila dapat bertemu dengan penduduk setempat yang hadir meraikan kami.

    “Di sebalik pelbagai kekangan pandemik COVID-19 ini dapat juga kami buat kenduri jemput orang ramai datang,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

    Seramai 400 jemputan hadir pada majlis tersebut termasuk pengunjung setia RMP untuk menjamu selera dengan menu nasi beriani kambing, ayam madu dan acar.

    “Sudah lama kita tidak dapat menikmati suasana makan kenduri begini akibat PKP dan hari ini dapat bagi peluang orang ramai merasainya. Itu tujuan kami sekeluarga membuat kenduri untuk penduduk di sini selain kakitangan saya.

    “Sabtu lepas, saya buat resepsi di hotel dan kerana SOP tidak dapat jemput ramai orang kecuali anggota keluarga dan rakan sahaja tetapi di sini banyak yang dapat hadir.

    “Saya berbesar hati kerana Rumah Makan Percuma mengatur semua persiapan ini,” katanya yang berasal dari Melaka.

    Dalam pada itu menurut Pengasas Rumah Makan Percuma yang juga Pengarah Urusan Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin, selain kakitangan Ayam Bismi, pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai yang ingin mengadakan kenduri kahwin di premis tersebut.

    “Kita juga membuka peluang kepada orang ramai yang berminat mengadakan kenduri di Rumah Makan Percuma terutama mereka yang terjejas, susah dan hilang pendapatan tetapi ingin mengadakan kenduri kahwin,” katanya.- KedahOnline

    Sumber Asal: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/11/bersanding-di-rumah-makan-percuma/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=bersanding-di-rumah-makan-percuma

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.