Thursday, March 28, 2024
More

    Sasar 5,000 pelancong antarabangsa ke Langkawi

    LANGKAWI – Seramai 5,000 pelancong asing dijangka memasuki pulau peranginan ini sehingga hujung tahun ini susulan pelaksanaan program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi yang bermula hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya menyasarkan purata 150 pelancong antarabangsa masuk ke Langkawi sehari.

    “Kita menjangkakan 5,000 orang pelancong asing sehingga hujung tahun ini dan ia adalah sasaran yang realistik.

    “Berdasarkan angka itu, perbelanjaan yang dapat dijana oleh pelancong antarabangsa ini adalah sekitar RM24.5 juta,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks LADA di sini semalam.

    Beliau memberitahu, penerbangan terus ke Langkawi pula mungkin paling cepat akan diadakan pada Disember nanti.

    Menurut beliau, tempoh masa tersebut diambil kerana penerbangan terus memerlukan lebih kurang dua bulan untuk pihak agensi pelancongan melakukan rundingan, tempahan tiket penerbangan dan pakej pelancongan.

    “LADA akan mengadakan perbincangan dengan Qatar Airways dan AirAsia Berhad bagi membincangkan penerbangan terus ke Langkawi.

    “Bagi tempoh seminggu atau dua minggu pertama ini kita menjangkakan tiada penerbangan terus ke Langkawi dan semuanya akan melalui perjalanan transit daripada KLIA,” ujarnya.

    Tambah beliau, pihaknya pada masa ini masih belum menerima angka tepat mengenai angka kedatangan pelancong antarabangsa bagi penerbangan transit di KLIA.

    Katanya, pelancong juga perlu mendapatkan insurans perlindungan COVID-19 bernilai sekurang-kurangnya bernilai USD$80,000 sebelum melancong di pulau ini.- KedahOnline

    Sumber Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2021/11/sasar-5000-pelancong-antarabangsa-ke-langkawi/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=sasar-5000-pelancong-antarabangsa-ke-langkawi

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.