Thursday, March 28, 2024
More

    Menyelami keindahan alam semula jadi Pulau Tuba

    LANGKAWI – Siapa sangka tidak jauh dari Pulau Langkawi iaitu sekitar 5 kilometer dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu, terdapat sebuah pulau yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan dianugerahi dengan pelbagai keindahan alam semula jadi.

    Pulau Tuba, nama yang mungkin janggal kedengarannya buat pelancong adalah sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai seluas kira-kira 17 kilometer persegi dengan sekitar 5,000 orang penduduk.

    Untuk sampai ke pulau ini, pelancong perlu menaiki bot atau feri yang tersedia dengan harga sekitar RM10 seorang, untuk perjalanan pergi dan balik.

    Setibanya di pulau ini, pengunjung boleh menaiki van atau motosikal sewa untuk bersiar-siar menikmati keindahan panorama perkampungan di pulau ini.

    Tawar percutian bermakna

    Pemandu pelancong, Zamri Anuar, mengakui memang benar pelancong lebih mengenali Pulau Langkawi berbanding Pulau Tuba dan keadaan itu membuatkan ia agak kurang popular.

    “Sebenarnya Pulau Tuba mampu menawarkan pengalaman percutian tidak kurang hebatnya. Ada pelbagai jenis motel dan vila untuk pelancong menginap dengan harga penginapan bermula serendah RM60 satu malam.

    “Malahan paling menarik ada juga ditawarkan pakej percutian bersama keluarga angkat nelayan di rumah inap desa di sini,” tambah anak kelahiran Pulau Langkawi ini.

    Menerusi pakej percutian bersama keluarga angkat, pelancong berpeluang mempelajari cara menangkap hasil laut seperti bronok (sejenis hidupan laut seakan gamat), udang, ketam dan ikan seperti kebasi dan jenahak serta bersawah padi.

    “Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian penduduk seperti menganyam beg dan tikar mengkuang. Harga pakej ini pula sekitar RM150-300 sehari bergantung kepada jumlah pelancong yang terlibat,” katanya.

    Selain pakej aktiviti bersama keluarga angkat, pengunjung yang inginkan aktiviti lasak seperti pendakian boleh melakukannya di Gua Wang Buloh dan Gua Kelawar yang turut dilengkapi trek pendakian yang menarik dan mencabar.

    Untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Licin, bagaimanapun, dinasihatkan untuk pergi bersama jurupandu hutan berlesen kerana trek masih belum tersedia di sana.

    Pulau yang menakjubkan

    Pulau Tuba dikelilingi bukit-bukau jenis batu kapur yang terbentuk lebih 350 juta tahun dahulu dan pengunjung boleh singgah ke Bukit Kecik untuk melihat sendiri bagaimana formasi batu kapur terbentuk.

    Menurut Zamri, formasi batuan yang terbentuk di Bukit Kecik adalah sejenis batuan enapan yang terdiri daripada mineral kalsit dan arogenit.

    Selain itu, Zamri turut berkata, beberapa pantai peranginan yang popular di sini antaranya pantai Tanjung Pandan yang terkenal dengan kejernihan airnya dan terdapat pelbagai kedai makan mi udang, serta pantai Bagan Asam yang dikelilingi hutan paya bakau dan formasi batuan batu kapur yang memukau mata.

    Tidak cukup dengan itu, Pulau Tuba yang mendapat nama jolokannya dari Pokok Tuba yang tumbuh melata di sini juga turut dihiasi pelbagai tumbuhan eksotik yang tidak mungkin terdapat di tempat lain seperti tumbuhan Pandan Laut, Orkid Harimau serta pokok Bogok yang hanya tumbuh di batu kapur, manakala di dada langit pula gagah berterbangan burung helang jenis Lang Merah dan Lang Siput.

    Zamri menjelaskan, mungkin ada pengunjung yang beranggapan bahawa Pulau Tuba tidak terdapat kemudahan yang lengkap dek kerana rata-rata penduduknya menjalani kehidupan ala desa.

    Namun sebenarnya, penduduk di pulau ini turut sama menikmati kemudahan asas seperti sekolah dan klinik, malahan turut dilengkapi kemudahan capaian internet yang pastinya bermanfaat buat pengunjung.

    Mula bernafas kembali

    Sementara itu, salah seorang penyedia servis van sewa di Pulau Tuba Mohd Senafi Ishak, 63, berkata, beliau kini mampu menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan baru-baru ini.

    “Servis yang saya tawarkan buat pelancong juga berbaloi, iaitu perjalanan mengelilingi Pulau Tuba selama empat jam pada harga RM100 menaiki van besar yang boleh memuatkan sekitar 10 orang,” katanya yang juga dikenali sebagai Pak Ali.

    Beliau menambah, antara destinasi popular yang sering diminta untuk dikunjungi pelancong ialah jeti lama Pulau Tuba yang panjangnya sekitar 800 meter, dahulunya pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan seperti Ombak Rindu dan Langit Cinta. – KedahOnline

    Sumber Asal: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/fmt-ohsem/ohsem-nak-ke-mana/2021/10/22/menyelami-keindahan-alam-semula-jadi-pulau-tuba/

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.