Thursday, March 28, 2024
More

    Industri pelancongan terima dukungan MARA Liner

    KUALA NERANG – Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu memulihkan kembali industri pelancongan dalam negara dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke destinasi bawah program perintis gelembung pelancongan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkhidmatan bas ekspres itu dikendalikan menerusi syarikat pengangkutannya, MARA Liner Sdn Bhd sebagai sokongan bagi menjayakan gelembung pelancongan bawah inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

    Menurutnya, ketika ini MARA Liner menyediakan 174 trip perjalanan seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, selain destinasi Shah Alam ke Kuala Perlis.

    “Beberapa SOP perlu dipatuhi antaranya hanya penumpang yang menerima lengkap dua dos vaksin dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas.

    Bagi memastikan keselamatan penumpang pula, kesemua pemandu bas MARA Liner untuk perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti turut dilengkapi vaksinasi bagi mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bas tambahan MARA Liner di sini semalam.

    Mahdzir berkata, pihaknya percaya penggunaan bas ekspres akan kembali rancak selepas kerajaan membenarkan merentas negeri.

    “Kes Covid-19 semakin menurun, malah beberapa negeri sudah beralih ke Fasa Dua dan Fasa Tiga bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Selepas rentas negeri dibenarkan, industri pelancongan dapat dipulihkan seterusnya perkhidmatan bas turut dipertingkatkan.

    “Saya akui Mara Liner turut terkesan dengan pandemik dan mengalami kerugian, disebabkan perjalanan dikurangkan kerana terikat pada perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.

    Menurutnya, jumlah penumpang untuk dua tahun kebelakangan merosot, iaitu 52,000 penumpang pada tahun 2020 dan menurun kepada 12,000 orang sehingga Ogos tahun ini, berbanding sebelum pandemik sekitar 83,000 penumpang (2019).

    Dalam perkembagan lain, Mahdzir memaklumkan Bengkel MARA Liner Kuala Nerang yang berusia hampir 30 tahun akan dinaiktaraf dengan peruntukan RM500,000 dalam waktu terdekat.

    “Mara turut membina sebuah bengkel baharu di Serdang dengan peruntukan RM3.5 juta dan proses pembinaan dijangka bermula tahun hadapan.

    Usaha berterusan ini adalah untuk melengkapkan kemudahan prasarana lebih baik untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam yang sempurna dan selesa kepada masyarakat setempat,” katanya.

    Pada majlis berkenaan, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, penambahan dua buah bas baharu di Kuala Nerang bakal memanfaatkan lebih 200,000 penduduk dalam memastikan masyarakat luar bandar diberikan perkhidmatan pengangkutan awam setanding kawasan bandar.

    “Mara menyediakan dua buah bas baharu bagi laluan Kuala Nerang-Terminal Bas Naka dan tambahan sebuah bas ekspres baharu bagi laluan Kuala Nerang-Pendang-Kuala Lumpur. Ini adalah tambahan kepada kapasiti perkhidmatan sedia ada, 16 buah bas henti-henti yang beroperasi di daerah ini meliputi lapan laluan,” katanya.

    Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan MARA Liner di seluruh negara membabitkan 126 laluan dengan memiliki 400 buah bas, yang mana 296 daripadanya adalah bas ekspres yang beroperasi melalui 20 buah bengkel. – KedahOnline

    sumber: Sinar Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.