Wednesday, January 19, 2022
More

    ‘Bayangan’ Kedah bakal hadapi peristiwa besar?

    ALOR SETAR – Rakyat negeri Kedah perlu bersedia dengan sebarang pengumuman atau perkembangan yang mungkin berlaku dalam beberapa hari ke depan.

    Berdasarkan sentimen disebut oleh beberapa individu penting seolah-olah memberi bayangan situasi perlu dilalui ekoran daripada tingkah laku semasa rakyat.

    Sebelum ini Exco Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman ada memperingatkan bahawa bazar Ramadhan di negeri ini bakal dibatalkan.

    Ini diikuti peringatan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan bahawa pihaknya menempatkan anggota polis memantau di bazar Ramadhan dan masjid.

    Teguran turut di suarakan Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Ahmad Syaher Abu Bakar yang memantau situasi lokasi.

    Kemudian Exco Agama Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad juga berkata, kebenaran diberikan untuk aktiviti agama di masjid pada Ramadhan ini boleh ditarik semula.

    Paling terbaru, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula memaklumkan situasi terkini laporan daripada pihak berkuasa seluruh negeri ini.

    “Adik kakak saudara saudari yang berniaga dan yang mengunjungi bazar Ramadhan di seluruh negeri Kedah dimohon mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN.

    “Laporan yang diterima daripada penguat kuasa PBT setakat hari ini di bazar-bazar Ramadhan seluruh negeri amat mengecewakan.

    “SOP tidak dipatuhi oleh sebahagian besar pihak peniaga dan pengunjung. Sebarang kecuaian dan kealpaan kita terhadap SOP boleh mencetuskan kluster baru COVID-19.

    “Seterusnya akan membawa kepada penutupan semua bazar Ramadhan seluruh negeri yang menjadi sumber rezeki saudara mara kita sepanjang Ramadhan ini,” ujar beliau dalam muat naik Facebook peribadinya.

    Kegagalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan oleh pengunjung bazar dan jemaah masjid boleh menjadi punca penularan COVID-19.

    Kedah yang kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini sehingga 28 April depan mungkin boleh berubah status tiba-tiba.

    Jika negeri kembali kepada status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan lebih banyak rutin dan urusan rakyat menjadi lebih ketat dan sukar untuk diadakan.

    Tetapi itulah ketetapan yang dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) andai kita ingkar untuk mematuhi SOP telah sedia di maklumi. – KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.