Friday, March 29, 2024
More

    HSB, HSAH sewa kontena berikutan mayat bertambah

    ALOR SETAR – Kontena sejuk beku bagi menampung mayat pesakit COVID-19 memang telah digunakan sejak beberapa hari lalu berikutan angka kematian yang bertambah.

    Dato’ Dr Hayati Othman

    Exco Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman mengesahkan kontena tersebut disewa bagi kegunaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    Menurut beliau, banyak mayat yang masih menunggu penyelesaian proses untuk pengebumian di mana urusan tersebut juga terpaksa melalui penggiliran ketika ini.

    “Orang nak urus tak ramai, dan prosedur ‘post mortem’ pun ambil masa. Bila mayat banyak, Bilik Mayat tak boleh tampung, kena sewa kontena,” katanya.

    Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo memberitahu HSB Alor Setar dan HSAH Sungai Petani memerlukan kontena itu bagi menampung mayat yang kian meningkat.

    “Keadaan peti mayat di hospital berkenaan sentiasa penuh, jadi kita memerlukan kontena sejuk beku bagi menempatkan mayat pesakit COVID-19,” katanya lapor Harian Metro.

    Negeri ini mencatatkan kes ketiga tertinggi COVID-19 selepas Selangor dan Kuala Lumpur dengan jumlah kes sebanyak 1,281 kes semalam berbanding kelmarin 1,212 kes.

    Penggunaan katil bagi merawat pesakit COVID-19, maklum Dr Othman termasuk di unit rawatan rapi (ICU) sudah mencapai 95 peratus di semua hospital di negeri ini.

    Bagaimanapun ujarnya, tidak semua pesakit COVID-19 yang dirawat di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

    “Bantuan alat pernafasan di ICU masih mencukupi kerana tidak semua pesakit memerlukannya.

    “Bagi menampung kes pesakit COVID-19 yang semakin tinggi kita memberi keutamaan merawat pesakit kategori empat dan lima.

    “Manakala kategori lain dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya.

    Beliau berkata, berikutan kes yang semakin meningkat di Kedah, HSAH, Sungai Petani turut akan dijadikan sebagai hospital penuh Covid-19 tidak lama lagi. – KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.