Friday, March 29, 2024
More

    Kedah dipilih gergasi teknologi dunia labur RM8.5 bilion

    ALOR SETAR – Gergasi teknologi dunia, Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S) telah mengumumkan keputusan syarikat itu untuk mengadakan pelaburan di Asia Tenggara.

    Membawa nilai mencecah RM8.5 bilion (Euro1.7 bilion) ia pelaburan terbesar pernah dibuat AT&S yang memilih membangunkan fasilitinya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

    Keputusan itu sekali lagi meletakkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin bertambah kepada negeri Kedah selepas menerima RM43 bilion bagi suku pertama 2021.

    Kilang pengeluaran AT&S itu bakal dibina pada suku kedua 2021 di mana operasi komersialnya disasarkan beroperasi pada tahun 2024 di mana merupakan pertama di Asia Tenggara.

    Operasi peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) global ini bakal mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan berteknologi dan berimpak tinggi.

    Komponen keluaran AT&S digunakan dalam peranti mudah alih, elektronik industri, aplikasi automotif serta teknologi perubatan di mana turut mempunyai pengeluaran di Austria, India, China dan Korea Selatan.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tarikan pelabur memilih negeri ini adalah atas kemudahan dan infrastruktur yang disediakan bagi memenuhi keperluan operasi.

    Para pelabur menurutnya, diyakinkan dengan jaminan bekalan air dan tanah murah, selain sikap kerajaan negeri yang mesra pelabur serta politik stabil bersama integriti diamalkan.

    ā€œDasar kita terbuka, kerja bagi cepat dan pantas, birokrasi pelik-pelik tak dak. Proses jadi cepat, tenaga, air, tanah dan environment yang sesuai dengan keperluan pelaburan.

    ā€œPekerja mahir pun ramai dan kita ada pusat pengajian tinggi yang boleh supply pekerja mahir,ā€ ujarnya beliau yang baharu memimpin kerajaan negeri sejak 17 Mei tahun lalu.

    Maklumnya, negeri ini akan mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Pelabuhan Yan, selain banyak taman perindustrian bakal dibangunkan.

    Antaranya ujar beliau adalah Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam serta Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

    Menurut Sanusi kejayaan kemasukan pelaburan tersebut adalah hasil dari kerja pasukan di KHTP, Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN), Kedah Invest dan agensi kerajaan.

    Puji beliau, pasukan ini telah bekerja dengan cekap dan inovatif selain turut disumbangkan peranan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang membangunkan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER). – KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.