Thursday, July 7, 2022
More

    Kedah terima RM42.4 bilion pelaburan Jan-Mac 2021

    ALOR SETAR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengesahkan Kedah menerima pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan berjumlah RM42.4 bilion setakat suku pertama tahun 2021.

    Angka besar dan memberangsangkan serta mencatat sejarah itu melibatkan sektor pembuatan sahaja yang mewakili 72 peratus jumlah FDI diterima negara iaitu sebanyak RM58.8 bilion bagi tempoh tersebut.

    Malah, ia meninggalkan jauh FDI diterima negeri lain dengan kedudukan kedua oleh Sabah (RM4.3 bilion), Selangor (RM4 bilion), Melaka (RM3.4 bilion) dan Johor (RM1.7 bilion) bagi tempoh yang sama.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor walaupun baharu menerajui kerajaan negeri bagi tempoh setahun pada 17 Mei lalu dilihat berjaya merangsang pertumbuhan ekonomi yang menjadi petunjuk prestasi itu.

    Hasil pakej insentif fiskal menarik dan komprehensif ditawarkan Kedah, ia memacu pencapaian yang dilihat luar biasa itu di saat seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 hingga kini.

    Menariknya, jumlah FDI tersebut menghampiri angka diterima Singapura iaitu RM43.1 bilion dalam senarai lima negara teratas selain Belanda (RM5 bilion), Korea (RM4.3 bilion), Taipei (RM0.5 bilion) dan Hong Kong (RM0.3 bilion).

    Laporan tersebut tentunya tidak termasuk pelaburan yang baharu diterima antaranya RM40 bilion projek Widad @Langkasuka dan RM1.3 bilion untuk Litar Super Car Open Road Asia di Langkawi dan RM7 bilion dari HartaLega untuk Northern Gateway di Bukit Kayu Hitam.

    Rekod pelaburan di bawah kerajaan negeri baharu ini sememangnya menampakkan kesungguhan hasilnya sepertimana projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menarik pelaburan RM18 bilion.

    Malah, ia membawa sama komponen lain seperti Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) dan sebuah taman semi-konduktor serta Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) di mana pasti membawa limpahan ekonomi daerah sekitar.

    Pelaburan juga ditingkatkan dengan pertambahan lagi RM2.2 bilion diterima Kedah Rubber City (KRC) dan pembukaan fasa kelima Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) tidak termasuk sektor perkhidmatan dan primer.

    Kedah bahkan bakal membuat kejutan lagi apabila pengisytiharan pewartaan Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan oleh Kementerian Pengangkutan akan memberi impak pelaburan tidak kurang besarnya tidak lama lagi.

    Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang mengetuai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) malah yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah akan meningkat 30 peratus membawa jumlah RM62 bilion menjelang 2027. – KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.