Wednesday, January 19, 2022
More

    Kedah akan ada Menteri Besar baru lagi?

    Politik negeri Jelapang Padi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bak dentuman guruh di langit apabila tersebar bahawa akan mempunyai Menteri Besar baru sekali lagi.

    Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sedang disebut-sebut bakal ke kerusi tersebut sekiranya Pakatan Harapan kembali menguasai negeri Darul Aman ini.

    Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat sebagai calon yang tepat untuk mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

    Menurut satu sumber, Mahfuz telah dipersiapkan untuk menandingi kerusi DUN Derga pada PRU-15, memandangkan ia kerusi yang paling selamat untuk dimenangi. Lantaran itu DAP yang bertradisi di kerusi itu juga menunjukkan kesediaan berkorban kepada pemimpin besar umpama Jeneral seperti Datuk Mahfuz.

    Pilihan kedua ialah bertanding kerusi DUN Bukit Lada setelah kebelakangan ini Mahfuz dilihat banyak bertumpu di Bukit Lada dengan bantuan bekas Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin. Ahmad pula atas kompromi itu dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen Pokok Sena yang disandang Mahfuz sejak beberapa penggal.

    Dua lagi tokoh yang turut disebut-sebut untuk menjadi calon Menteri Besar ialah ADUN Alor Mengkudu, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh yang juga dari AMANAH.

    Peluang Phahrolrazi dilihat sukar kerana dilihat bersikap ‘bossy’ dan tidak mesra akar umbi, manakala Dr Ismail, bukan anak Kedah tapi orang luar anak kelahiran Terengganu.

    Bekas MB, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir pula dilihat terkeluar dari senarai persaingan kerana parti PEJUANG yang disertainya bukan anggota komponen Pakatan Harapan. Sukar untuk Pejuang bersama dalam gabungan Pakatan Harapan selagi Tun Dr Mahathir Mohamad masih hidup.

    Persoalannya, adakah PKR Kedah akan melepaskan begitu sahaja peluang untuk mendapat post utama dalam pentadbiran negeri itu? Lebih-lebih lagi ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul sejak sekian lama dilihat sebagai ‘maker’ politik Pakatan Harapan di Kedah.

    Hakikatnya, PKR tidak berpadu seperti AMANAH. Mereka berpecah kepada beberapa kelompok. Sebelum ini team dalam PKR yang dianggap terkuat di Kedah pimpinan ADUN Lunas, Azman Nasruddin telah meninggalkan parti, sehingga Kerajaan Pakatan Harapan Kedah hilang harapan dan tumbang di tengah jalan.

    Johari Abdul sudah lama memendam hasrat menjadi MB, namun cabarannya beliau tidak mendapat sokongan padu dari rakan-rakan parti sendiri kerana dikatakan bersikap ‘bossy’ sebagaimana Phahrolrazi.

    PKR adalah parti yang tenat dengan kemelut dalaman.

    Apapun persoalan besar yang dihadapi Pakatan Harapan Kedah ialah peluang mereka untuk memenangi PRU-15. Jika PAS dan UMNO masih kukuh memacu Muafakat Nasional, maka Pakatan Harapan dijangka hanya mampu memenangi 6 dari 36 kerusi DUN di Kedah.

    Jika demikian, Mahfuz hanya berpeluang jadi ‘calon Menteri Besar’ tapi bukan Menteri Besar.

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.