Thursday, July 7, 2022
More

    COVID-19: Rakyat Kedah perlu bersedia kemungkinan terburuk

    ALOR SETAR – Rakyat negeri Kedah perlu bersedia menghadapi kemungkinan terburuk, sekali gus bakal menyambut Aidil Fitri yang paling suram dalam sejarah berikutan situasi penularan COVID-19 ketika ini.

    Exco Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, keadaan setakat ini kian parah dengan kes positif baru semakin bertambahan dan menaik setiap hari di negeri ini, bahkan seluruh negara.

    Menurut beliau, jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital negeri ini juga sudah penuh di mana hari ini sahaja bertambah 209 kes baru menjadikan jumlah kumulatif 10,839 kes setakat ini dengan 1,302 kes aktif.

    Semua daerah mempunyai kes aktif dengan tertinggi Kota Setar iaitu 418 kes, Kuala Muda (319), Bandar Baharu (250), Kulim (185), Baling (64), Kubang Pasu (36), Pendang (12), Padang Terap (9), Pokok Sena (7), Yan (6) dan Langkawi (3).

    Lima daripadanya iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu berstatus Zon Merah setelah mencatat kes positif berturutan selama 14 hari dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Mei.

    “Peniaga gesa supaya mereka bebas berniaga. Rakyat biasa mendesak supaya bebas bergerak. Petugas kesihatan makin lesu dengan pertambahan kes, tohmahan, fitnah. Makian kepada pemimpin makin menjadi jadi kerana sekatan bergerak.

    “Apakah solusi kita selain patuh kepada arahan? Munajat kepada Allah dan cuba yang terbaik menjaga diri dan keluarga masing-masing. Vaksinasi adalah usaha untuk menolong kuatkan badan menghadapi virus ini.

    “Angkat tangan, berdoalah moga Allah makbulkan permohonan kita. Kita tak mahu jadi macam di India. Moga Allah berikan pertolongan kepada kita semua,” kata Datuk Dr Mohd Hayati.

    Semalam, 6 Mei bertambah lagi 209 kes baru dengan kadar meningkat secara pertambahan harian berbanding sebelumnya, 5 Mei dengan 124 kes, 4 Mei (155 kes), 3 Mei (103 kes), 2 Mei (101 kes) dan 1 Mei (111 kes).

    Pada 30 April (136 kes), 29 April (105 kes), 28 April (120 kes), 27 April (51), 26 April (36 kes), 25 April (76 kes) dan 24 April (34 kes), manakala 44 kes pada 23 April, 91 kes (22 April), 55 kes (21 April), 44 kes (20 April) dan 48 kes pada 19 April.

    Hari ini juga merekodkan kes harian tertinggi bagi seluruh negara iaitu 4,498 kes positif baru dengan 506 kes ke ICU di mana 295 kes memerlukan bantuan alat pernafasan, sebagaimana diumum Kementerian Kesihatan.

    Setakat semalam, 6 Mei, jumlah pendaftaran untuk suntikan vaksinasi oleh penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas baru mencapai 33.5 peratus iaitu 535,467 orang dari 1.6 juta orang. – KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.