Friday, March 29, 2024
More

    4 lelaki ditahan terbabit pertaruhan bola sepak Piala Dunia di Kedah

    Alor Setar: Polis menahan empat lelaki pada serbuan Op Soga IX yang terbabit dengan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 dalam tiga serbuan masing-masing di Alor Setar, Kodiang di Jitra dan Sungai Petani semalam.

    Pada serbuan di Alor Setar, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan di pekan Anak Bukit jam 10 malam oleh anggota Bahagian Maksiat, Perjudian Dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Asisten Superintendan Khairul Faiz Rosli.

    Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, selain telefon bimbit, pihaknya turut merampas wang RM385.

    “Suspek mengaku terbabit dalam kegiatan pertaruhan (bookie) perlawanan bola sepak dunia dengan had kredit RM20,000,” katanya hari ini.

    Menurut beliau, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun di hadapan sebuah restoran di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, jam 1.30 pagi tadi.

    “Turut dirampas, seunit telefon bimbit dan komputer riba yang digunakan dengan kegiatan pertaruhan piala dunia ini serta wang RM110,” katanya.

    Sementara itu, pada serbuan di Jitra, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di sebuah kedai tidak bernombor di Kampung Kubang Chenok, Kodiang jam 12 tengah malam.

    Wan Hassan berkata, turut dirampas antaranya seunit telefon bimbit, pencetak mini dan dua helai resit pertaruhan perlawanan antara Perancis dan Australia yang berlangsung pagi tadi.

    “Turut dirampas wang RM350 serta sebilah parang berulu kayu,” katanya.-KedahOnline

    Sumber : Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.