Friday, March 29, 2024
More

    5 sekeluarga Sanggup Tinggal Dalam Dangau

    Padang Terap: Biarpun sempit serta tiada kemudahan asas, namun bagi lima sekeluarga ia sudah memadai buat mereka yang terpaksa tinggal dalam dangau di Kampung Pokka, dekat sini sejak hampir setahun lalu.

    Keluarga Rosdi Omar, 50, dan isteri Nor Fariza Zainol, 39, bersama tiga anak lelaki berusia lima hingga 15 tahun tinggal di bangsal berlantai serta berdindingkan buluh, kain dan zink yang sudah dianggap ‘mewah’ kerana hanya itu sahaja tempat tinggal yang mereka ada untuk berteduh sejak Januari lalu.

    Tanpa mempunyai bilik dengan hanya ruang tamu yang turut menempatkan dapur kayu untuk memasak, di situ jugalah tempat mereka sekeluarga tidur dengan hanya ditemani limpahan cahaya bulan ketika malam.

    Biarpun pada awalnya agak kekok, namun lama kelamaan semua ahli keluarga terbabit mula belajar menerima kehidupan serba daif dan kekurangan di bangsal yang tidak mempunyai tandas, bekalan air dan juga elektrik itu.

    Nor Fariza berkata, bukan niat dia dan suami mahu tinggal serta menjalani hidup yang serba kekurangan di bangsal kecil berkenaan lebih-lebih lagi bersama anak yang kini makin membesar.

    “Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di rumah bersama ibu bapa yang terletak kira-kira 500 meter dari bangsal didiami sekarang namun kerana terlalu ramai adik beradik lain yang turut tinggal di situ membuatkan suami kurang selesa.

    “Ini kerana suami mendakwa dia agak janggal berikutan rumah berkenaan terlalu ramai wanita membuatkan dia kurang selesa,” katanya yang juga anak sulung daripada lapan adik beradik.

    Menurutnya, daripada lapan beradik itu hanya seorang sahaja lelaki manakala selebihnya adalah adik perempuan yang turut tinggal di rumah ibu bapa mereka yang mempunyai empat bilik itu.

    “Ada antara mereka (adik) sudah berkahwin namun menetap sementara bersama ibu dan ayah kerana menunggu rumah yang masih dalam proses pembinaan.

    “Disebabkan semakin ramai ahli keluarga sehingga rumah menjadi sempit, saya serta suami mengambil keputusan untuk keluar kerana mahu memberi keselesaan kepada adik beradik lain,” katanya ketika disantuni sukarelawan Murtadha Dakwah Centre (Madad) .

    Menurutnya, dia dan suami bagaimanapun tiada arah serta hala tuju sebelum bapanya memberi cadangan dan membenarkan mereka sekeluarga untuk menetap di bangsal dalam kebun getah tidak jauh dari situ.

    “Bangsal ini asalnya sudah lama dibina bapa sebagai tempat dia berehat ketika berkebun namun kerana faktor usia bapa lebih banyak berehat di rumah.

    “Selepas diizinkan bapa, suami kemudian mula melakukan kerja pembinaan secara kecil untuk meluaskan bangsal terbabit namun ia tertangguh disebabkan kekangan wang untuk membeli bahan binaan,” katanya.

    Menurutnya, dia serta suami bukan sengaja mahu hidup dalam kesusahan namun apakan daya kerana pendapatan suami yang tidak menentu dengan hanya melakukan kerja kampung membuatkan mereka tidak mampu mencari rumah yang lebih selesa.

    “Sebelum ini, suami ada melakukan kerja mengambil upah sebagai tukang namun sejak ditipu serta langsung tidak dibayar seperti dijanjikan membuatkan dia kecewa.

    “Suami serik kerana ketika itu sangat memerlukan wang untuk menyara anak-anak kami yang masih kecil dan disebabkan itu dia kini langsung tidak mahu menerima upah walaupun ada yang memberikannya kerja,” katanya.

    Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini kerana tidak tahu cara untuk memohonnya.

    “Saya memang perlukan bantuan terutama rumah namun disebabkan tidak tahu cara memohon serta arah untuk dituju akhirnya hasrat itu dilupakan,” katanya.

    Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rosdi di talian 019-7246892.-KedahOnline

    Sumber : Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.