Friday, March 29, 2024
More

    ALOR SETAR: Ketiadaan penyerang utama, Ronald Ngah Wanja yang tidak dapat beraksi pada saat akhir sebelum perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) menjadi faktor Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal memberi cabaran terbaik apabila tewas 1-3 di Stadium Darul Aman semalam.

    Ketua jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak mengakui beliau begitu kecewa diatas kegagalan skuad Sang Kenari yang pada mulanya berazam penuh untuk bangkit mencari kemenangan di laman sendiri selepas berputih mata menerusi empat siri kekalahan terdahulu.

    “Pertama kita kena lihat barisan yang disenaraikan dahulu, adakah kita memiliki barisan kesebelasan terbaik pada perlawanan ini? Apa yang saya boleh rancangkan apabila pada saat akhir Ronald Ngah tidak dapat beraksi.

    “Kami menyenaraikan Ronald Ngah namun beliau merasakan tidak dapat beraksi dan ini memaksa kami melakukan perancangan yang tidak diduga untuk meletakkan Mahmoud Al-Mardi di posisi serangan sedangkan beliau bukan seorang penyerang utama selepas kehilangan Syafiq Ahmad kerana kita tiada pilihan terbaik untuk penyerang,” katanya.

    Menurut Aidil lagi, keadaan itu diburukkan lagi apabila KDA turut tempang tanpa pemain import pertahanan Marc Vales yang juga mengalami kecederaan sekali gus memaksa Sang Kenari melakukan percaturan yang lebih sukar berdepan TFC.

    “Di samping tidak menyenaraikan penyerang terbaik, tidak mudah buat kami apabila beraksi menentang pasukan yang bagus dalam kelompok tiga yang terbaik dalam carta kerana kami juga kehilangan pemain pertahanan Marc Vales yang turut memberi kesan di benteng.

    “Kami juga tidak tak ada pemain senior dalam pasukan yang boleh memimpin pasukan seperti musim lalu kami memiliki Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Renan Alves dan bila ketinggalan, kami masih mampu bangkit dengan keyakinan tetapi musim ini kita terlalu mudah dan semangat juang tidak cukup.

    “Bagaimanapun pada musim ini Syazwan Zainon sedang berusaha dengan sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan itu,” katanya.

    Tambah Aidil lagi, kekerapan Kedah yang turun tanpa lima import lengkap berbanding TFC musim ini menjejaskan kekuatan pasukan selain menyebabkan perancangan beliau menjadi terhad.

    “Kita di Kedah pula hanya ada satu perlawanan sahaja dengan lengkap lima pemain import iaitu sewaktu menentang Selangor FC dan selepas perlawanan itu, jumlah pemain import kembali kurang menjadi tiga atau empat pemain sahaja menyebabkan saya tidak dapat merancang dengan lebih.

    “Jika TFC juga tidak memiliki skuad lengkap, agak sukar untuk mereka menjadi skuad kedua terbaik dalam Liga Super musim ini kerana setiap perlawanan mereka ada lima import beraksi,” katanya.-KedahOnline

    Sumber : Berita Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.