Thursday, March 28, 2024
More

    Kecintaan Kepada Nabi Muhammad saw keutamaan

    SAUDARA PENGARANG,

    PADA Ahad lepas kita telah menyambut Maulidur Rasul sempena ulang tahun tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.

    Peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rabiulawal telah mengubah landskap kehidupan dunia sehingga disebut oleh Allah SWT bahawa pengutusan Nabi SAW menjadi rahmat bagi sekalian alam.

    Namun, para ulama berbeza pandangan berkenaan tarikh sebenar kelahiran Nabi SAW. Berdasarkan perhitungan ahli falak, hari Isnin dalam bulan Rabiulawal Tahun Gajah seperti yang disebut dalam hadis bukan pada tarikh 12 Rabiulawal, sebaliknya pada 9 Rabiulawal iaitu bersamaan 22 April tahun 571 Masihi.

    Apa pun tarikh sebenar, tumpuan adalah bagi menzahirkan kecintaan pada Nabi SAW melalui tiga kaedah. Pertama, meletakkan kasih kepada baginda pada tahap utama dan teratas.

    Perasaan mencintai Nabi SAW hendaklah melebihi daripada diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.

    Kedua, mengamalkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian. Kecintaan kepada baginda boleh dizahirkan dengan cara terbaik melalui mengikuti dan mengamalkan sunnah yang boleh dipelajari daripada hadis dan kisah perjalanan hidup baginda.

    Berusahalah meneladani baginda dengan menjunjung sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian sebagai bukti perhambaan dan kepatuhan kepada Allah SWT.

    Ketiga, memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW. Selawat bukan hanya dizahirkan pada majlis sambutan kelahiran baginda sahaja tetapi seharusnya dibuat secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan seharian.

    Demikianlah kaedah yang dianjurkan oleh Islam dalam menzahirkan dan meningkatkan kecintaan kepada Nabi SAW yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

    Semoga sambutan pada Ahad lalu meningkatkan keazaman kita semua bagi membuktikan kecintaan kepada baginda. – UTUSAN

    DR. AZRI BHARI
    Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor-KedahOnline

    Sumber : utusan Malaysia

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.