Thursday, March 28, 2024
More

    Kerap Hilang Besi Penutup Longkang Di Kuala Kedah Mengundang Bahaya Kepada Orang Ramai

    Alor Setar: Besi penutup longkang yang kerap hilang di kawasan Kuala Kedah menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ia boleh mengundang bahaya.

    Tinjauan di sekitar pekan Kuala Kedah mendapati, beberapa besi penutup longkang hilang terutama di hadapan Terminal Jeti Feri Kuala Kedah di sini.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, longkang itu ditutup dengan kayu oleh individu di kawasan terbabit.

    Bagaimanapun, ada yang terbuka dan ia mengundang bahaya kepada orang ramai.

    Selain itu, penutup longkang konkrit juga ada yang pecah dan ia turut membahayakan orang ramai kerana kawasan itu menjadi laluan pelancong yang hendak berkunjung ke Langkawi.

    Penduduk tempatan, Abdul Karim Ariffin, 39, berkata, kejadian kecurian membabitkan besi penutup longkang memang kerap berlaku di kawasan itu.

    Katanya, walaupun ia diganti baru, namun kecurian tetap berlaku dan ia menyusahkan semua pihak.

    “Jika tidak perasan, sudah tentu ada yang terjatuh ke longkang. Saya berharap ia dapat digantikan dengan besi penutup longkang yang lebih kukuh untuk mengelak kecurian.

    “Selain itu, penutup longkang konkrit yang rosak juga perlu diganti baru bagi mengelakkan ada yang terpijak dan terjatuh ke longkang kerana kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, terutama pada musim cuti perayaan atau cuti sekolah,” katanya ditemui hari ini.

    Ruzaida Amir, 37, dari Yan berkata, keadaan lebih bahaya jika berlaku air pasang besar di kawasan Kuala Kedah.

    “Ia menyebabkan air melimpah dan ada kemungkinan, ramai yang tidak perasan dengan kewujudan longkang di lokasi berkenaan kerana paras air sama dengan jalan sehingga menutupi longkang terbabit,” katanya.

    Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar Datuk Zaid Ahmad berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan menggantikan besi penutup longkang yang baru sekiranya ada aduan diterima.

    Beliau berkata, memang besi penutup longkang itu selalu hilang sebelum diganti baru namun kejadian sama tetap berulang.

    “Kalau kita terima aduan, memang kita akan ganti yang baru di kawasan yang dinyatakan,” katanya dihubungi.-KedahOnline

    Sumber : Harian Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.