Sunday, November 27, 2022
More

    Kerajaan Negeri Panggil Penganjur Program Muda Mudi Weekend Festival

    Alor Setar: Penganjur program Muda Mudi Weekend Festival akan dipanggil beri penjelasan susulan konsert yang menimbulkan kontroversi di Dataran Balai Seni Negeri di sini, kelmarin.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata setakat ini pihaknya sudah mendapat penjelasan daripada Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) mengenai penganjuran konsert berkenaan.

    Jelasnya, LMNK dipanggil kerana Balai Seni Negeri terletak di bawah seliaan jabatan itu, selain pemantauan sepanjang program itu berlangsung turut dilakukan pihak berkenaan.

    “Penjelasan Pengarah LMNK memaklumkan pada mulanya konsert itu berlangsung dan berjalan secara baik, tiada pengunjung menari dan sebagainya, namun apabila di hujung konsert ketika sebuah kumpulan membuat persembahan, penonton mula melompat dan menari.

    “Keadaan itu berlaku tidak sampai seminit, apabila dilihat penonton mula melompat dan menari, Pengarah LMNK yang turut ada di situ mengarahkan kumpulan itu menghentikan persembahan bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk, namun akhirnya ia menjadi tular,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Semalam, video mengenai acara itu tular di media sosial, memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan muzik dianjurkan.

    Acara itu mengundang rasa kurang senang orang ramai kerana ia dibuat tidak jauh dari Masjid Zahir.

    Dr Mohd Hayati berkata, penganjuran festival itu diluluskan pihak berkuasa berikutan pengisian aktiviti yang memberi manfaat kepada peserta terutama memberi peluang kepada mereka mempromosikan produk selain menambah pendapatan selepas pandemik Covid-19.

    “Kita turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi menambah baik peraturan berkaitan hiburan serta syarat tambahan yang mungkin akan dikenakan.

    “Festival ini akan diteruskan di Sungai Petani tidak lama lagi, saya sudah minta Pegawai Daerah agar tidak membenarkan konsert supaya kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.-KedahOnline

    Sumber : Harian Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.