Sunday, November 27, 2022
More

    Air Pasang Besar Di Dua Daerah Tidak Menjejaskan Kediaman Penduduk

    Alor Setar: Kejadian air pasang besar yang berlaku di Kuala Kedah dan Kuala Muda awal pagi hari ini tidak menjejaskan kediaman penduduk dan premis perniagaan di kawasan itu.

    Kenaikan paras air laut juga sangat lemah namun pemantauan tetap dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di dua lokasi terbabit.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, paras bacaan sebenar air laut di Kuala Kedah yang dicatatkan adalah 2.89 meter berbanding bacaan ramalan iaitu 2.90 meter pada jam 2.28 pagi.

    Beliau berkata, pemantauan bersama anggotanya dilakukan di empat kawasan tumpuan iaitu Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Kampung Tepi Laut sekitar 2 hingga 3 pagi.

    “Paras air hanya menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 0.2 meter di Taman Sri Putra, Kuala Kedah namun tidak melepasi paras jalan tar.

    “Namun air laut tidak memasuki rumah penduduk atau premis kediaman yang sebelum ini dimasuki air ketika berlakunya kejadian air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, di Kuala Muda, hasil pemantauan APM di Pantai Kota Kuala Muda dan Pantai Tanjung Dawai, Merbok pula mendapati bacaan sebenar paras air laut hanya 1.50 meter berbanding ramalan iaitu 2.90 meter.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, hasil pemantauan antara 2.17 pagi hingga 2.50 pagi itu mendapati, berlaku sedikit kenaikan air di Kampung Kepala Jalan tetapi tidak melepasi jalan manakala di Kampung Hujung Matang, Kampung Sungai Meriam dan Kampung Sungai Yu pula mendapati tiada kenaikan air yang melepasi jalan dan memasuki rumah penduduk.

    “Selain anggota APM Kuala Muda turut melakukan pemantauan di lokasi kedua yang membabitkan lima kampung iaitu Kampung Nelayan, Kampung Bagan Asam, Kampung Huma, Kampung Sungai Pial dan Pekan Tanjung Dawai.

    “Hanya sedikit kenaikan air laut dilaporkan berlaku di kawasan perumahan di Kampung Nelayan dan Kampung Huma tetapi dalam keadaan terkawal namun Pekan Tanjung Dawai, Kampung Asam dan Kampung Sungai Pial pula tidak dinaiki air,” katanya.-KedahOnline

    Sumber : Harian Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.