Thursday, March 28, 2024
More

    Kedah Bakal Kuasa Besar Ekonomi Malaysia

    Suatu ketika dahulu Gunung Jerai adalah ikonik penting yang menjadi rujukan utama kepada pedagang-pedagang negara luar untuk singgah berlabuh di Pelabuhan Lembah Bujang semasa era Kerajaan Kedah Tua. Pedagang-pedagang dari pelbagai negara suka singgah untuk berdagang dan berjual beli di Pelabuhan Lembah Bujang kerana pelbagai jenis barang dagangan ada dijual selain daripada barang tempatan. Sebagai tempat perdagangan yang sibuk dengan urusan jual beli, ia menjadikan Kedah pada ketika itu sebagai salah satu kuasa besar ekonomi di rantau Asia Tenggara. Pada ketika ini juga Kedah pernah muncul sebagai pengeluar dan pengeksport besi terbesar dunia (tahun 700SM -1500M) berpusat di Sungai Batu Lembah Bujang.

    Tidaklah mustahil sekali lagi Kedah mampu untuk kembali sebagai sebuah negeri Kuasa Besar Ekonomi dalam negara Malaysia sebagaimana yang dicita-citakan oleh Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapan beliau baru-baru ini. Sesungguhnya ini bukanlah suatu angan-angan atau mimpi di siang hari namun inilah Wawasan 2035 yang ingin disampaikan oleh Menteri Besar Kedah. Cita-cita beliau mungkin berdasarkan kepada 5 faktor potensi yang dimiliki Kedah.

    Faktor pertama dan paling utama ialah peningkatan hasil pelaburan luar yang melimpah masuk menjadikan Kedah sebagai negeri paling tinggi nilai pelaburan dua tahun berturut-turut iaitu pada 2021 sebanyak RM63.8 bilion dan suku pertama 2022 sebanyak RM8.55 bilion. Kesungguhan Kedah dalam usaha menarik pelabur-pelabur luar telah mendapat pujian Tan Sri Mohd Zuki Ali, KSN. “Kejayaan Kedah menambah baik dan memudah cara urusan pelaburan perlu dijadikan contoh dan penanda aras bagi negeri lain dalam menarik lebih ramai pelabur asing” katanya kepada pihak media. Prestasi cemerlang dalam menarik pelabur-pelabur luar ini adalah kerana dasar dan polisi kerajaan Kedah diterima baik oleh pelabur-pelabur luar. Antara pelabur-pelabur besar yang menjadi tumpuan ialah Porsche, AT&S, Risen Energy Co. Ltd (industri panel solar dr China) dan beberapa syarikat gergasi dunia yang lain.

    Faktor kedua ialah keupayaan Kedah yang berjaya melonjakkan pertumbuhan KDNK yang tinggi antara negeri-negeri lain. Prestasi menduduki di tangga kelima seterusnya menambahkan lagi keyakinan pelabur-pelabur dari luar. Lima ekonomi negeri yang berprestasi lebih baik itu adalah Pulau Pinang, yang mengungguli prestasi KDNK 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus, diikuti oleh Selangor dengan (5.0 peratus), Terengganu (5.0 peratus), Perak (3.5 peratus) dan Kedah (3.2 peratus). Malah kriteria kos sara hidup yang rendah di Kedah turut diambil kira dalam faktor kedua ini.

    Faktor ketiga pula ialah kedudukan geografi yang strategik di utara. Kedah adalah sebuah negeri yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi, sangat cantik dengan pemandangan sawah padi yang luas terbentang di atas tanah pamah yang subur. Kedah adalah negeri yang bersempadan dengan negara Thailand di sebelah utara. Lebuhraya Utara Selatan yang melalui Kedah berakhir di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah. Kedah juga berjiran dengan Pulau Pinang yang menguruskan Pelabuhan Pulau Pinang tempat ketiga paling sibuk dalam Malaysia selepas Pelabuhan Klang Selangor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor.

    Faktor keempat ialah kemudahan jaringan pengangkutan seperti jaringan laluan Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Butterworth Kulim yang menghubungkan kawasan-kawasan perindustrian dengan kawasan-kawasan strategik seperti pusat pentadbiran dan pusat pemindahan kargo di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Ini memberikan kemudahan kepada kilang-kilang untuk memindahkan barang dengan mudah dan selesa daripada satu kawasan ke kawasan yang lain. Malah dengan inisiatif daripada pihak kerajaan Kedah yang sedang cuba membangunkan Lapangan Terbang Kulim yang akan dibangunkan sebagai lapangan terbang kargo akan lebih merancakkan lagi sektor perkilangan dan perindustrian negara. Ini dilengkapkan lagi pula dengan usaha menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai hub e-dagang dan logistik di sebelah utara Kedah.

    Faktor kelima atau faktor terakhir ialah faktor kestabilan politik. Kedah merupakan negeri yang ditadbir oleh kerajaan campuran namun komponen-komponen parti politik yang diterajui parti PAS ini berjaya memelihara keharmonian perbezaan politik dengan baik sekali. Ini barangkali kesan daripada gaya kepemimpinan transformasional yang diterapkan oleh Menteri Besar Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Walaupun beliau dilihat menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pembangunan sektor perindustrian di Kedah pada masa yang sama beliau tidak meninggalkan perhatian kepada pembangunan sektor pendidikan, sektor pertanian dan sektor-sektor yang lain sebagai contoh baru-baru ini beliau menyentuh mengenai jumlah penanaman padi di Kedah dapat ditingkatkan bagi memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi mengikut keperluan rakyat. Seluas 1200 hektar sawah telah dipilih mulai musim Disember 2022 dengan sasaran 30,000 hektar akan ditanam 5 kali setiap 2 tahun. Usaha ini perlu dijayakan bagi menjamin ‘Food Security’ negara dalam keadaan selamat.

    Semoga hasrat Kedah Kuasa Besar Ekonomi Malaysia dapat direalisasikan hasil kepemimpinan yang cemerlang di bawah Menteri Besar Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan sokongan barisan kerajaan yang harmoni serta kerjasama seluruh rakyat Kedah.

    Salmy Anas bin Ahmad
    Alor Setar
    2 Ogos 2022-kedahOnline

    Sumber : Berita Harian,Harian Metro,Utusan,Bernama

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.