Tuesday, October 4, 2022
More

    Bagaimana PAS Hadapi PRU-15 Tanpa UMNO ?

    KUANTAN: PAS masih menunggu jika parti itu mempunyai peluang untuk bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Bagaimanapun, jika UMNO memutuskan mahu bergerak sendirian menerusi Barisan Nasional (BN), PAS sedia bertanding melalui gabungan Perikatan Nasional (PN).

    Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata partinya masih memegang teguh prinsip penyatuan ummah menerusi MN.

    “PAS adalah komponen dalam PN namun kami tidak menutup pintu kepada penyatuan ummah (MN). PAS sentiasa terbuka kerana memikirkan kepentingan ketiga-tiga parti (PAS, BERSATU dan UMNO) untuk duduk bersama namun jika BN mahu bergerak solo, kami akan kekal bersama BERSATU dalam PN.

    “Bagaimanapun, jika PAS dan UMNO memutuskan untuk bekerjasama di bawah MN, rangka kerjanya perlu terpakai di seluruh negara, bukan di sesetengah negeri sahaja.

    “Ia perlu menyeluruh… bukan sekadar kita bekerjasama (PAS dan UMNO) di Pahang tetapi bertanding (antara satu sama lain) di Kelantan dan Terengganu kerana kita perlu melihat kerjasama dari kerangka yang lebih besar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Hijau 3.0 (H2OK) di Pantai Sepat di sini, malam tadi.

    Yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

    Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO dilaporkan berkata negeri perlu diberi kebebasan jika mahu bekerjasama menerusi MN, bergantung kepada kesesuaian negeri masing-masing.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, biarpun tiada tempoh masa diberikan kepada UMNO untuk membuat keputusan berhubung kerjasama politik, PAS tidak lagi boleh menunggu jika PRU-15 semakin hampir.

    Ditanya sama ada hubungan PAS dengan rakan dalam PN akan retak jika memilih MN, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu bergantung kepada situasi.

    Namun, beliau berkata ia tidak menjadi isu kerana PAS memiliki pengalaman bekerjasama dengan parti politik lain.

    “Di Kelantan, PAS pernah bersama Semangat 46, BERJASA (Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) dan Pakatan Harapan. Kami tahu senario itu dan sebab itu amat penting untuk bekerjasama menuju kepada penyatuan ummah,” katanya.

    Beliau turut menegaskan, selain konteks politik, PAS melihat MN sebagai agenda besar kepada penyatuan ummah.

    “Penyatuan ummah dalam MN perlu dikekalkan dan walaupun bukan melalui kerjasama politik atau ketika pilihan raya tetapi sebagai platform penyatuan kerana banyak isu yang perlu dipertahankan secara bersama.

    “Dalam konteks politik, UMNO mengambil keputusan bergerak solo ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dan mereka dilihat sedia bergerak sendirian selepas PRU-15, namun kami bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.

    Ditanya persediaan PAS untuk bertanding pada PRU-15 jika UMNO bergerak sendirian, Tuan Ibrahim berkata, partinya akan meletakkan calon bersama BERSATU dan Gerakan di bawah PN.

    “Kerusi yang bakal ditandingi bergantung kepada perbincangan dalam PN. Kami akan membuat keputusan berhubung calon selepas perbincangan,” katanya.

    Berhubung MN di Pahang yang mana PAS memiliki lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau berkata ia tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri pimpinan BN itu, namun tiada pertemuan rasmi antara kedua-dua pihak setakat ini bagi membincangkan soal kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).-KedahOnline

    Sumber : Berita Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.