Tuesday, October 4, 2022
More

    Khalid Ibrahim Meninggal Dunia

    SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia pada jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

    Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

    Menurut kenyataan di Facebook rasminya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

    “Sebaik selepas pengurusan di Masjid Umar Al Khattab, jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

    “Atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam,” kata kenyataan menerusi Facebook rasminya itu.

    Abdul Khalid, 76, tahun meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.

    Pada 23 April lalu, Abdul Khalid dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital swasta akibat jangkitan kuman pada injap jantung.

    Pada 24 Julai pula, beliau menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

    Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan dan menerajui Selangor sehingga 22 September 2014.

    Beliau adalah menteri besar Selangor yang pertama daripada parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Dr Mohamad Khir Toyo.

    Abdul Khalid bersara daripada arena politik selepas mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam satu kenyataan pada 7 Februari 2018.-KedahOnline

    Sumber : Berita Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.