Tuesday, October 4, 2022
More

    UMNO atau PAS Akan Bertanding Sendirian di Kedah?

    Oleh: Hamzah Asad

    Atmosfera politik di Kedah sudah lama kedinginan sejak peralihan Kerajaan pimpinan Sanusi.

    Ia tidak seperti negeri-negeri lain yang mengalami perubahan tampuk Kerajaan Negeri pada pertengahan tahun 2020 dulu.

    Johor, Melaka dan Sabah berkocak sehingga menyebabkan pilihanraya negeri terpaksa diadakan.

    Perak pula berlaku ‘second swing’ dengan UMNO bersekongkol dengan DAP untuk menumbangkan Faizal Azumu secara undi percaya.

    Dalam banyak-banyak negeri yang mengalami ‘swing’ tadi, Kedah boleh dikatakan terus kekal stabil.

    Faktor rekod cemerlang Kerajaan Negeri Kedah sukar untuk dibandingkan. Dua tahun di bawah Perikatan Nasional lebih baik daripada 60 tahun parti lama yang memerintah.

    Terlalu banyak fakta yang menyokongnya. Sukar untuk dinafikan.

    Tetapi menghampiri pilihanraya umum, barulah nampak politik negeri ini sedikit terpercik air.

    Kenyataan PAS mahu memenangi Kedah secara solo membimbangkan ‘rakan’ sekutunya.

    Datuk Seri Jamil Khir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah membalas dalam satu kenyataan mengkritik langkah PAS untuk bertanding sendirian.

    Saya tidak nampak mengapa Jamil Khir – setelah sekian lama mendiamkan diri – tergopoh gapah membuat kenyataan balas.

    Pada 13 Jun 2022, seminggu sebelum Presiden PAS mengeluarkan kenyataan PAS akan bertanding solo, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Johan Rizal telah menyatakan UMNO Kedah akan bergerak secara solo.

    Sama ada kenyataan tersebut mewakili UMNO Kedah ataupun tidak itu isu kedua. Tetapi bagaimana mereka boleh sewenang-wenangnya menyebutkan tentang hal itu.

    Jamil Khir marahkan PAS mahu bertanding solo tanpa beliau sedar pemimpin UMNO telah mengeluarkan kenyataan tersebut lebih awal.

    Tidak sedarkah UMNO bahawa mereka masih ada wakil rakyat yang berada dalam Kerajaan Negeri ketika ini.

    Kerana itu ada pepatah yang mengingatkan, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’.

    Pernah satu ketika, pemimpin UMNO Kedah meminta Haji Sanusi berhenti bercakap soal bola sepak dan tumpukan kepada isu air.

    Hairan mereka meminta MB bercakap isu air sedangkan EXCO yang menjaga portfolio di Kedah adalah daripada UMNO sendiri. Apa yang UMNO Kedah nak sebenarnya?

    Perseteruan ini merugikan selepas pelbagai kejayaan yang dicipta oleh Haji Sanusi dan barisan kepimpinan Negeri.

    Pesanan ikhlas saya kepada pemimpin UMNO Kedah – jangan terikut-ikut permainan politik di peringkat pusat.

    ‘Ikut hati mati, ikut rasa binasa’…

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.