Friday, March 29, 2024
More

    [Post Match] Rombakan Pemain Kedah Membuahkan Hasil

    Oleh: Hafiz Mansor

    Pasukan Kedah akhirnya kembali mencatatkan kemenangan selepas lima perlawanan Liga Super apabila menundukkan Sarawak United di gelanggang sendiri. Perencanaan Aidil dengan beberapa pertukaran pemain menjadi nadi utama penambahbaikan taktikal Kedah. Kemenangan semalam tidaklah menggambarkan kebangkitan skuad Kenari kerana masih banyak aspek yang perlu diperbaiki, namun setidak-tidaknya ia mengembalikan keyakinan pasukan dalam mengharungi baki saingan liga yang masih panjang.

    Aidil menggunakan taktikal 4-3-3 atau fleksi 4-1-3-2. Kedah memulakan ‘build-up’ serangan daripada bawah dengan kedua-dua ‘fullback’ Ariff Farhan dan Heshamudin berada di ‘wide area’ sambil Mardi dan Al-Hafiz berperanan lebih ke bahagian dalam memberikan ‘compactness’ kepada pasukan di bahagian tengah.

    Kedah beraksi tanpa Dechi yang berkemungkinan mengalami kecederaan. Tugas Dechi digalas dengan baik oleh Khairu Azrin. Walaupun Azrin melakukan kesilapan mudah di bahagian tengah sehingga menyebabkan satu ‘counter-attack’ Sarawak dan gol penyamaan, namun secara keseluruhannya Azrin beraksi dengan baik sebagai No.6.

    Azrin banyak turun melindungi ‘backline’ Kedah ketika fasa bertahan selain ‘challenge’ yang diberikan berjaya untuk ‘delay’ serangan Sarawak United. Selain itu, beliau juga banyak melakukan hantaran jauh (long pass) dan hantaran diagonal untuk memecahkan ‘compactness’ lawan di bahagian tengah.

    Seorang lagi prospek pertahanan yang solid untuk Kedah adalah Heshamudin yang turun menggantikan Kamil Akmal. Ini adalah aksi kedua beliau di bahagian pertahanan kanan selepas diturunkan pada separuh masa kedua di Gong Badak minggu lalu.

    Permainan Heshamudin semakin meyakinkan.

    Heshamudin berada lebih ‘advance’ untuk membantu Kedah menjana serangan daripada ‘width’ di sebelah kanan. Beliau juga pantas untuk turun melakukan tugasan bertahan. Setakat pemerhatian, ‘work rate’ kedua-dua fullback Kedah di bahagian kanan boleh dianggap solid.

    Kita juga boleh memperkatakan sesuatu dengan peranan Loqman yang memberikan nafas baharu kepada Centre Back (CB) Kedah selepas aksi longlai yang ditunjukkan. Nyata rotation pemain yang dilakukan Aidil khususnya di bahagian pertahanan memberikan tenaga baru yang diperlukan untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi.

    Dalam perlawanan kali ini, masih banyak aspek ‘shape’ serangan yang perlu diperbaiki. Awal separuh masa kedua, Kedah banyak serangan dari luar kotak penalti dan tidak banyak penetrasi ke dalam kubu lawan. Setakat minit ke-70, Kedah melakukan 20 ‘shot’ dengan hanya 5 daripadanya tepat ke kubu lawan.

    Aspek positif yang boleh diperkatakan adalah peranan No.8 Sanrawat kali ini yang dilihat berhasil menstabilkan bahagian tengah Kedah. Kedah juga memperbaiki aspek ‘link-up’ di bahagian depan dan peranan ini dibantu oleh keberadaan Fayadh.

    Fayadh memberikan nilai tambah kepada serangan Kedah.

    Dalam dua aksi bertemu Terengganu, bahagian depan Kedah kelihatan begitu sukar untuk masuk ke Zon 14 lawan kerana ketiadaan pemain yang lebih mobile dengan bola di bahagian atas apatah lagi dengan teknikaliti Ngah yang terhad.

    Tindakan memasukkan Fayadh pada awal babak merupakan ‘game changer’ kepada ‘strike force’ Kedah. Ini adalah aksi kedua Fayadh sebagai kesebelasan utama pasukan berbanding sebelum ini beliau akan lebih berperanan sebagai ‘supersub’.

    Mahmoud al-Mardi cemerlang dengan dua gol malam tadi.

    Kemenangan malam ini walau bagaimanapun sangat penting untuk memberikan nafas baharu kepada pasukan. Tidak dilupakan kepada Mahmoud al-Mardi yang menjaringkan dua gol penting dan satu daripadanya berkelas dunia. Peranan Mardi di bahagian depan banyak membantu pasukan dan beliau antara pemain yang memberikan impak segera kepada pasukan setakat ini.

    Kedah perlu mengekalkan rentak kemenangan dalam aksi Liga Super. Masih banyak yang perlu diperbaiki oleh Aidil untuk bangkit. –KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.