Tuesday, August 9, 2022
More

    Seramai 534 Mangsa Masih Berlindung Di Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

    BALING: Seramai 534 mangsa banjir di daerah ini, masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi tadi.

    Bilangan itu bagaimanapun menurun berbanding 591 mangsa banjir (123 keluarga), setakat jam 12 tengah malam tadi.

    Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata seramai 159 mangsa terbabit (50 keluarga) berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan 200 orang (43 keluarga) di PPS Surau An-Nur, Taman Mesra.

    Seterusnya, beliau berkata, PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah di Kupang menempatkan 130 mangsa banjir (15 keluarga) terdiri daripada kakitangan sekolah berkenaan.

    “Selain itu, terdapat juga 45 mangsa terdiri daripada 30 pelajar lelaki dan 15 lagi perempuan yang masih berada di sekolah terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Bencana banjir dan kepala air, Isnin lalu, menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah ini membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

    Sementara itu pegawai APM Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) masih dibuka hingga keadaan kembali stabil dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    Beliau berkata, PKOB terbabit antara lain menerima panggilan serta merekodkan data diterima daripada mangsa banjir bagi memastikan mereka tidak tercicir dan selamat ketika berada di PPS.

    “Mangsa banjir terbabit masih berada di PPS kerana rumah mereka teruk diseliputi lumpur dan banyak barangan mengalami kerosakan.

    “Justeru, mereka pulang pada waktu siang untuk membersihkan rumah dan kembali menginap di PPS apabila malam,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, mangsa yang kehilangan rumah akibat dihanyutkan arus banjir juga berlindung di PPS berkenaan.

    “Mereka menunggu untuk tinggal di rumah yang akan disewa sementara waktu apabila keadaan kembali pulih nanti,” katanya.

    Beliau sekali gus memaklumkan, aspek kebajikan meliputi makan minum dan kesihatan mangsa banjir, sentiasa diberikan perhatian sepanjang tempoh mereka berada di PPS terbabit.-KedahOnline

    Sumber : Berita Harian

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.