Tuesday, August 9, 2022
More

    Pesta Durian Kedah Akan Jadi Acara Tahunan Negeri Kedah

    RABU (06.07.2022)

    ALOR SETAR – Negeri Kedah merupakan di antara pengeluar terbesar buah durian di Malaysia dengan keluasan tanaman seluas 850 hektar di kawasan-kawasan utama seperti di daerah Bandar Baharu, Kulim, Sik, Baling dan Padang Terap.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Pengangkutan, Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, Dato’ Azman Nasruddin berkata durian dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang berdaftar atau tidak berdaftar.

    “Durian yang berdaftar merupakan durian yang telah didaftarkan varieti serta pencirian dengan Jabatan Pertanian seperti Duri Hitam (D200), Mou Sang King (D197) dan yang terbaru didaftar ketika ini keluaran dari Negeri Kedah merupakan durian jenis J. Sparrow (D216) dan Jerai (D217).

    “Selain durian berdaftar, Negeri Kedah juga mempunyai pelbagai jenis durian kampung yang baik dan berkualiti untuk dikomersialkan. Jabatan Pertanian Negeri Kedah kini dalam usaha untuk memartabatkan durian kampung agar dapat dikelaskan sebagai Durian Kampung Premium di samping dapat menambah nilai harga durian kampung setimpal dengan kualiti durian kampung tersebut.

    “Program pada hari ini dilaksanakan bagi mempromosikan Durian Kampung Premium serta menyediakan ruang untuk peminat-peminat durian menikmati buah durian secara terus dan membolehkan pengusaha durian memasarkan hasil buah terus kepada orang ramai.

    “Disamping itu, saya berharap agar Pesta Durian Kedah ini dapat dijadikan acara tahunan dan di masukkan dalam kalendar pelancongan Negeri Kedah agar dapat dianjurkan setiap tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pesta Durian Kedah dan Pelancaran Durian Kampung Premium di Perkarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Ramli Abdul Rahman serta wakil-wakil dari Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

    Dalam pada itu, ketika ditemui media, Azman turut berkata bahawa di Negeri Kedah telah terdapat kilang yang mengeksport buah durian ke luar negara yang telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

    “Kilang Nictron Agriculture Sdn. Bhd. telah lama mengeksport buah durian sejuk beku yang dibeku menggunakan nitrogen supaya ketahanan serta keaslian buah tersebut dapat bertahan lama serta segar dan mendapat permintaan yang tinggi di China.

    “Dahulu, sejuk beku hanya dibenarkan mengikut ulas sahaja tapi kini Negara China telah membenarkan agar dibekukan sebiji buah dan terus dipasarkan memandangkan permintaan di sana mahukan buah yang tahan lama serta menikmati keaslian rasa buah tersebut,” ujarnya.-Kedahonline

    Sumber : Warta Kedah

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.