Thursday, March 28, 2024
More

    [Post Match] Kedah Ketandusan Idea, Displin Tinggi Pertahanan Terengganu Berhasil

    Oleh: Hafiz Mansor

    Kekalahan di Kuala Terengganu sangat perit untuk diterima. Pemain lawan bermain 10 orang pada babak awal separuh masa kedua, namun malangnya dalam tempoh yang panjang tersebut tiada serangan yang berkesan dapat dilancarkan ke kubu lawan.

    Separuh masa pertama, Kedah masih tercari-cari rentak permainan. Babak-babak awal menunjukkan pemain Kedah masih gagal membentuk transisi serangan dengan cepat ke kubu lawan. Gerakan ke hadapan sukar dan mudah dipatahkan pihak lawan. Akhirnya, pemain lebih banyak melakukan hantaran ke bawah.

    Terengganu pula bermain secara ‘man-marking’ dan pantas untuk memberikan tekanan kepada pemain-pemain Kedah khususnya di bahagian ‘middle third’. Pemain lawan lebih kompak di tengah dan banyak menutup ruang ‘horizontal’ sekaligus menyukarkan hantaran lolos dilakukan.

    Dechi juga tidak dapat melakukan hantaran dengan selesa dan banyak menolak bola ke bahagian pertahanan bagi meredakan tekanan. Tidak dapat dinafikan kem jurulatih Terengganu seakan-akan sudah dapat membaca strategi permainan Kedah yang berada pada titik fokal Dechi sebagai ‘playmaker’.

    Sanrawat ditolak bermain lebih ke hadapan No.10 di ruangan tengah manakala Fadzrul Danel lebih banyak berada di bawah. Fadzrul tidak berada pada form yang terbaik malam ini, banyak terjerat dengan tekanan lawan sehingga menyebabkan hantarannya tidak sampai.

    Terengganu menggunakan kelebihan di sebelah kanan dengan mengoptimumkan peranan Faisal Halim. Ketika beliau melakukan hantaran lintang melepasi Azmeer, tiada pemain ‘defensive mid’ yang melindungi pertahanan Kedah. Malah, pemain juga gagal mengawasi larian Faiz Nasir daripada belakang.

    Aidil memasukkan Fayadh bagi menggantikan Fadzrul pada separuh masa pertama. Ia sememangnya dijangka cuma tindakan Aidil lebih awal mengeluarkan Fadzrul luar daripada jangkaan. Sanrawat kembali ke posisi lebih bawah untuk berada bersama Dechi. Permulaannya nampak Kedah mula berjaya melepasi sepertiga serangan (attacking third) lawan.

    Walau bagaimanapun, tiada perubahan gerakan perlawanan yang ketara dalam separuh masa kedua. Ketiadaan pertahanan tengah import Terengganu yang dikenakan kad merah juga belum mampu membolehkan Kedah menembusi kotak penalti lawan.

    Dua aspek kekuatan Terengganu adalah; disiplin yang tinggi di barisan pertahanan dan kelebihan pemain muda yang memiliki kepantasan. Ia menggambarkan ‘squad depth’ yang dimiliki mereka.

    Pertahanan Terengganu sangat kompak sama ada secara ‘vertical’ mahupun ‘horizontal’ serta bermain di garisan bawah (low defensive line). Situasi ini menyukarkan hantaran ‘through’ Kedah dan Ngah sekali lagi ‘terpenjara’ dengan sistem bertahan lawan.

    Hasrat Kedah untuk membina bentuk sistem kepungan bagi memerangkap gerakan pemain lawan tidak menjadi. Nafuzi bijak memasukkan pemain sayap yang mempunyai kelajuan sekali gus menolak Kedah bermain lebih ke bawah. Keadaan sedemikan memberikan kelebihan taktikal pula kepada Terengganu sekaligus menyebabkan Kedah tidak dapat bermain secara ofensif sepenuhnya, malah terpaksa turun mengawasi kepantasan di bahagian sayap.

    Keadaan ini terus membelenggu jentera tengah dan depan Kedah meskipun berkelebihan secara ‘numerical’. Sebaliknya, Kedah hanya menggerakkan bola menggunakan bahagian ‘width’. Dengan ‘compactness’ Terengganu di bahagian ‘attacking third’, nyata tiada apa yang mampu diterjemahkan oleh barisan hadapan Kedah.

    Peranan Ngah ketika ini sudah tidak berfungsi kerana Ngah bukanlah seorang ‘poacher’. Apabila Aidil mengekalkannya untuk memastikan dia menyambut hantaran ke tengah sudah semestinya suatu tindakan yang sia-sia kepada Kedah. Hasilnya, hanya beberapa kali ancaman dihalakan ke kubu lawan dalam keadaan mereka bermain 10 orang.

    Terengganu nyata berhak untuk menang malam ini kerana ‘changed tactical’ Nafuzi yang menjadi, manakala Kedah terus lemas mencari rentak dan ketiadaan idea untuk melepasi kubu lawan.

    Tahniah buat Terengganu FC untuk pusingan seterusnya. Terlalu banyak perlu diperbaiki skuad Kedah dalam baki saingan musim ini. Mungkin Aidil boleh memikirkan untuk mengekalkan taktikal dua playmaker Sanrawat dan Dechi serta melakukan ‘rotation’ di bahagian pertahanan tengah. Apakah Ngah juga berhak bermain 90 minit dalam keadaan beliau terperangkap dengan sistem lawan?

    Apa pandangan anda?

    KedahOnline

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.