Tuesday, August 9, 2022
More

    Cerita Balak dan Projek Musang King di Baling

    Oleh: Hamzad Asad

    Semalam perkampungan Iboi serta beberapa perkampungan sekitar Mukim Kupang dilanda banjir yang dahsyat. Ada tempat yang tidak pernah dinaiki air juga turut terkena tempiasnya. Banjir besar kali ini ada iras-iras banjir puing yang pernah melanda Hulu Langat sebelum ini. Kesan dan akibatnya hampir serupa, tetapi kisah di sebaliknya sedikit berbeza.

    Ada pihak yang mengaitkan banjir yang dahsyat semalam dengan satu projek tanaman Ladang Durian Musang King di Gunung Inas. Kita semua masih ingat bagaimana banjir lumpur pernah melanda Kampung Iboi pada tahun 2019 sebelum ini, tidak lain tidak bukan berpunca daripada projek ladang durian dan kesan penggondolan hutan yang sama. Cuma kali ini impaknya lebih besar dan dahsyat.

    Saya boleh gambarkan ia adalah kerakusan pihak kroni kapitalis mengaut keuntungan, tetapi malangnya akibat kerakusan tersebut penduduk yang tidak terlibat menerima akibatnya. Penduduk ini tidak pernah mendapatkan satu sen pun keuntungan daripada projek berkenaan sejak ia dilancarkan.

    Cerita Ladang Durian Musang King ini bermula sejak tahun 2013 dan aktiviti menggondol hutan berlaku pada tahun 2005 lagi. 5 ribu hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Inas ini telah digondol dan tamat pada 2016. Sepatutnya kawasan tersebut ditanam semula dengan anak pokok hutan bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

    Ironinya projek ladang durian tersebut mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri ketika itu. Projek tersebut bertambah keluasannya pada tahun 2019 – orang yang sama meluluskannya dahulu iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, cuma ‘warna’ sahaja yang berubah. Daripada cerita penggondolan hutan besar-besaran demi sesuap nasi si kroni, kepada cerita penanaman ladang durian juga demi sesuap nasi kroni.

    Memang ramai bersuara tentang projek ini suatu ketika dahulu. Penduduk tempatan sememangnya membantah kerana mereka pihak yang paling terjejas, tidak terkecuali NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan lain-lain.

    Apabila Hj Sanusi dilantik menjadi Menteri Besar pada pertengahan 2020, barulah keluhan dan kritikan itu didengari. Pada Julai 2020, beliau mengeluarkan arahan projek tanaman durian tersebut dihentikan serta merta. Tiada kompromi. ‘No second thought’.

    Sepatutnya tidak ditanam ladang durian di situ kerana ia tidak menepati spesifikasi sebagai ‘tanaman tutup bumi.’ Oleh itu, projek tersebut wajar dihentikan kerana tiada siapa yang mendapat keuntungan melainkan kroni.

    Pendedahan sebegini bukan untuk menuding jari, tetapi untuk mencelikkan mata rakyat – di antara pemimpin rakyat dan pemimpin di cucuk hidung sang kroni yang rakus. Kalau sekalipun projek ladang durian dan pembalakan ini tidak ada kena mengena dengan banjir besar tersebut, namun kita tidak boleh menafikan impak serta kesan jangka panjang yang berlaku daripada kedua-dua aktiviti tersebut.

    Kita mendoakan semoga mangsa yang terlibat diberikan kekuatan. –KedahOnline

    p/s: Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili KedahOnline.

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.