Thursday, March 28, 2024
More

    HFMD Di Kedah Catat Peningkatan Kes

    ALOR SETAR – Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini pada tahun ini menunjukkan peningkatan ketara dengan jumlah kumulatif sebanyak 4,192 kes dicatatkan setakat Sabtu lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah kes tersebut meningkat sebanyak 3,399 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19.

    “Pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 iaitu pada 29 Mei hingga 4 Jun lalu, Kedah mencatatkan sebanyak 789 kes HFMD.

    “Bagaimanapun jumlah kes pada minggu tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 389 kes atau 33 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 946 kes dan diikuti Kubang Pasu (625 kes), Kulim (588 kes) dan Kota Setar (446 kes).

    “Selain peningkatan kes, sebanyak 50 wabak HFMD telah dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun ini dengan 49 daripadanya berlaku di pusat pendidikan taska, tadika dan pra sekolah.

    “Lima wabak baharu dilaporkan melibatkan taska dan tadika minggu lalu dan semua premis terlibat telah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

    Beliau berkata, semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar. – KOSMO! ONLINE

    KedahOnline

    Sumber : Kosmo

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.