Friday, March 29, 2024
More

    Ibu Turut Menangis,Tak Sanggup Lihat Anak Menangis Derita Barah Hati

    Alor Setar: “Apabila anak menangis, saya pun turut menangis malah dapat rasakan kesakitan ditanggungnya kerana dia perlu melalui pelbagai rawatan termasuk kemoterapi disebabkan barah dihidapinya walaupun masih kecil,” kata Siti Famiza Bahari.

    Menurut Siti Famiza, 32, anak bongsunya, Muhammad Faris Naufal Mohd Fairul Ridzuan, 2, disahkan menghidap barah hepatablostma (kanser hati) pada Mac lalu selepas bahagian perut kanan mengeras.

    Muhammad Faris Naufal dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan hasil ujian imbasan sinar X, doktor mengesahkan kanak-kanak berkenaan menghidap penyakit itu.

    “Anak sepatutnya aktif bermain namun dia diuji dengan barah hati. Kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kami perlu berulang-alik ke sana untuk temu janji dengan doktor,” katanya ditemui di rumahnya di Lorong Masjid Iskandar, Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

    Siti Famiza berkata, Muhammad Faris Naufal sudah menjalani tujuh rawatan kemoterapi di HPP dan dijangka menjalani pembedahan untuk membuang separuh daripada hatinya pada Julai ini.

    Katanya, berat badan Muhammad Faris Naufal juga berkurangan daripada 11 kilogram (kg) kepada 8.9kg kerana tidak berselera makan.

    “Sebelum ini, saya mengambil upah mengasuh kanak-kanak di rumah dan bolehlah membantu suami menambah pendapatannya sebagai pekerja di bengkel membaiki kenderaan.

    “Tetapi, sejak anak sakit, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Faris Naufal serta anak sulung, Nur Fariza Najla yang berusia lima tahun di rumah,” katanya.

    Nur Famiza berkata, ada kalanya mereka berdepan masalah kewangan malah perlu mengeluarkan belanja lebih untuk membawa Muhammad Faris Naufal ke HPP dengan kos sekitar RM300.

    Katanya, dengan sewa rumah RM500 selain kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan dia dan suami buntu memikirkan sumber kewangan untuk rawatan Muhammad Faris Naufal.

    “Jika Muhammad Faris Naufal dimasukkan ke wad HPP, kami perlu berjimat kerana wang yang ada digunakan untuk membayar bil hospital dan sebagainya.

    “Jika ada yang hendak membantu, kami bersyukur sangat kerana tidak tahu mana lagi hendak mencari wang memandangkan Muhammad Faris Naufal perlu minum susu formula khas selain menggunakan lampin pakai buang setiap masa,” katanya.

    Pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Famiza di talian 011-29527561.

    Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal menyalurkan sumbangan wang, barangan keperluan harian serta susu formula khas untuk kegunaan Muhammad Faris Naufal.

    Katanya, sokongan moral kepada ibu bapa Muhammad Faris Naufal amat diperlukan kerana mereka perlu kuat demi kesihatan anak.-KedahOnline

    Sumber : Harian Metro

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.