Thursday, March 28, 2024
More

    Negeri Kedah Negeri Contoh Tarik Pelabur Asing

    Kerajaan Kedah perlu dijadikan contoh dan penanda aras bagi negeri lain dalam menarik ramai para pelabur asing. 

    Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata situasi semasa negara amat kritikal akibat daripada pandemik COVID-19 dan perkara utama adalah perlu menggerakkan kembali sektor ekonomi.

    “Kedah berjaya menarik jumlah pelaburan antara yang tertinggi, ia boleh dijadikan teladan kepada negeri lain untuk tampil sama, sebenarnya benda ini memerlukan kepemimpinan sebab ia membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Kita sering dapat aduan daripada pelabur dan peniaga mengenai kelulusan dari segi permit, apabila ada permohonan itu, tidak perlu proses terlalu panjang, kalau kita masih menggunakan kaedah lama, masih menggunakan peraturan yang ketinggalan dan sebagainya, ia akan menyulitkan pelabur untuk datang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Persidangan MyMudah peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

    Beliau juga yakin negeri-negeri lain juga mampu melaksanakan perkara tersebut seperti di Kedah, namun ia memerlukan usaha dan komitmen daripada pelbagai pihak.

    Dalam ucapannya di majlis itu, Mohd Zuki berkata antara kejayaan Kedah adalah dengan memperbaharui peraturan perniagaan bagi menambah baik sistem pengurusan.

    Katanya lagi, projek E10: Permit Pembinaan Ekspres yang diterajui Majlis Perbandaran Kulim yang mampu dijadikan contoh kepada negeri lain selain pelaksanaan kaedah Amalan Baik Peraturan (GRP) dan peraturan tangkas yang menjadi antara asas usaha pembaharuan kawal selia Kerajaan Negeri Kedah.

    “Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah yang menjadi negeri pertama menubuhkan Unit MyMudah di peringkat PBT dan negeri.

    “Tindakan proaktif kerajaan negeri dan PBT telah membuahkan hasil apabila usaha penambahbaikan ekosistem perniagaan telah berjaya meningkatkan profil negeri sebagai destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi.

    “Malah saya yakin pelaksanaan inisiatif MyMudah yang meluas akan membantu industri dan perniagaan berkembang pesat, malah ia juga mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam negeri yang berintegriti tinggi,” katanya lagi.

    Maklum beliau lagi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut akan menganjurkan Persidangan MyMudah peringkat kebangsaan, disusuli dengan Persidangan-persidangan MyMudah di peringkat negeri pada tahun ini agar inisiatif MyMudah ini dapat disebar luas dan dimanfaatkan oleh semua pihak di sektor awam dan swasta.-KedahOnline

    Sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.