Friday, March 29, 2024
More

    [Perspektif] Secangkir Kopi Dirasa, Sedingin Teh Dihirup…

    Oleh: Wan Mat Saman

    Gunung Jerai ikon atau lambang keindahan Kedah kembali disebut-sebut ramai. Jika dulu kerana kepala air Yan tapi kini kecoh berkaitan tindakan beberapa orang membuat lawatan ke kubur Tok Sheikh di situ.

    Untuk menarik perhatian ramai, tindakan amalan biasa disensasikan dengan label ‘ritual’ maka pakat bertempurlah acah-acah wahabi dan acah-acah aswaja berkelahi untuk perkara yang sia-sia.

    Orang Kedah memang terkenal dengan sembang kemaih dan sembang deraih, namun mereka masih rasional dan waras untuk membezakan ritual khurafat vs ibadat. Kemaih komen Menteri Besar Kedah pasai ini untuk mudah faham.

    Paling terkini kecoh pula mengenai perpindahan roh yang telah disalah faham ramai sehingga keluarlah tuduhan sesat dan pelbagai kata-kata tidak baik kepada sosok ustaz berkenaan walaupun beliau telah menarik kata-kata beliau dan memohon maaf.

    Isu sia-sia ini sekali lagi dijadikan modal untuk sesama kita berkelahi dan seolah-olah perselisihan faham adalah suatu nikmat kegembiraan pada mereka yang mendabik dada berlumba-lumba menonjolkan kealiman kedoktoran mereka.

    Sudah-sudahlah kita berkelahi, letaklah tepi ego dan kealiman palsu demi menyatukan ummah ini. Jika diamati Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang pun tidak menyebelahi atau menyokong mana-mana kumpulan wahabi vs aswaja.

    Ketika umat Islam masih keliru dan kecoh tentang ‘ritual’ di Gunung Jerai, Ustaz Idris Ahmad, Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri beri nasihat (ulang lagi) beri nasihat agar umat Islam Malaysia tidak menghadiri aktiviti ‘Bon Odori’ suatu amalan ritual (ini baru betul-betul ritual) orang Jepun.

    Nama Bon Odori sahaja sudah berikan maksud khurafat, namun begitulah orang Malaysia lemah untuk memahami nasihat baik daripada Menteri Agama. Mufti Pulau Pinang turut menegaskan ritual Bon Odori adalah suatu tindakan menjerumuskan diri kepada amalan syirik.

    Orang Malaysia lemah untuk menilai yang mana betul-betul ritual Bon Odori vs Ziarah Kubur Gunung Jerai. Entah hilang ke mana pula mereka yang menghentam Ustaz Zainul Asri tetapi membisu kepada mereka yang menyokong Bon Odori. Tahniah kepada Menteri dan Mufti Pulau Pinang yang bangkit menyatakan kebenaran membanteras kebatilan.

    Begitupun tiadalah manfaat dan apa satu faedah pun untuk turut serta dalam festival Bon Odori. Kedah bukanlah negeri yang mendabik Negeri Sunnah namun telah berkali-kali menganjurkan Festival Sunnah yang di dalamnya ada pengajian agama daripada ramai ustaz dengan pelbagai latar belakang ilmu, selawat daripada ramai belia-belia muda baik lelaki dan perempuan.

    Begitulah Kedah tidak kering dan tandus dengan pelbagai aktiviti berfaedah kepada pelbagai generasi di negeri ‘Jelapang Padi’ ini. Alhamdulillah ramai sungguh yang hadir ke Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti. Hat kita umat Islam ni cari-cariah, hadir-hadirlah aktiviti sebegini. Tiada bersalahan Bon Odori diadakan dalam negara namun biarlah mereka orang Jepun atau bukan Islam sudah cukup untuk meraikannya. “Lakum diinukum, waliyadiin” Ayat 6 Surah Al Kafirun. Bukalah mata bukalah hati Festival Sunnah vs Bon Odori.

    Bicara mengenai aktiviti-aktiviti terkini orang Kedah, pihak kerajaan negeri tidak lupa untuk sokong dan beri pengisian sihat kepada anak-anak muda Kedah. Maka dianjurkanlah sukan bola sepak Piala Menteri Besar. Jom kita penuhkan stadium yang menganjurkan perlawanan bola sepak ini. Dikhabarkan ramai anak-anak muda berjaya dicungkil bakat menunjukkan kebolehan dan kelebihan masing-masing.

    Janganlah pula kelak ada negeri lain datang mengintai dan melayuq duit. Ayuh anak muda teruskan menyokong aktiviti bola sepak Kedah. Sihatkan diri cergaskan badan. Bak kata Menteri Besar “Buatlah apa pun jangan lupa solat”. Anak Muda Kedah pilihlah, banyak aktiviti bermanfaat untuk kita semua, Festival Sunnah vs Perlawanan Bola sepak.

    Berita mendukacitakan dunia bola sepak Malaysia ialah berita pengunduran Tengku Mahkota Johor (TMJ) daripada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    “Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian kelab bola sepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab” – TMJ.

    Ini juga bermaksud negara akan kesunyian daripada perang mulut antara dua Presiden kelab bolasepak gergasi negara iaitu JDTFC dan KDAFC.

    Walaupun perang mulut lebih dilihat sebagai drama luar dan aksi tambahan untuk menghangatkan suasana perlawanan bola sepak negara terutama apabila melibatkan pertembungan Kedah dan Johor namun berita ini benar-benar akan mengecewakan peminat-peminat bola sepak negara.

    Banyak jasa bakti TMJ kepada pembangunan bola sepak negara terutama kepada kelab JDT yang baru-baru ini melakar sejarah layak ke peringkat kalah mati Asian Champions League. Terima kasih TMJ. Pasti peminat bola sepak tidak lupakan juga perang MB Kedah vs TMJ.

    Akhir sembang pagi ini, saudara Isham Jalil yang telah buat laporan fitnah ke atas MB Kedah berikutan Pasleak telah digugurkan daripada BN Selangor.

    Isham Jalil yang juga bekas pegawai khas DS Najib Razak dilihat sebagai individu yang sering membuat kacau kepada usaha-usaha BN Selangor ke arah Muafakat Nasional. Khabar angin menyatakan beliau digugurkan kerana mengungkit mengenai Pasleak yang membabitkan DS Hishamuddin Tun Hussein.

    Jika khabar angin ini benar ia beri petanda bahawa MN masih lagi ada di dalam hati pemimpin UMNO. Begitupun di Kedah baik MN vs PN, rakyat Kedah telah selesa bersama Pas dengan diterajui DS Muhammad Sanusi Md Nor sebagai MB Kedah.

    Teruskan usaha-usaha pembangunan demi rakyat Kedah. Kedah mungkin sebuah negeri miskin tetapi kini adalah negeri no 1 pelaburan tertinggi di Malaysia. Ayuh sama-sama kita bangunkan negeri yang kita cintai ini. –KedahOnline

    p/s: Penulisan ini merupakan kiriman daripada pembaca setia KedahOnline. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili KedahOnline.

    Latest Posts

    Stay in touch

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.